Bas pekerja dipandu warga asing tiada lesen disita

294

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita dua bas pekerja dalam operasi Ops Khas Bulan Perayaan di Simpang Ampat, Nibong Tebal pada Isnin.

JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati salah sebuah bas yang ditahan dipandu lelaki warga asing dan tiada lesen memandu.



Menurutnya, selain itu bas tersebut juga tiada lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Sementara itu, sebuah lagi bas dipandu lelaki tempatan dan dia juga tiada lesen memandu serta tiada PSV.

“Bas itu juga tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) selain perakuan Puspakom tamat tempoh,” katanya. 

Menurut kenyataan itu lagi, JPJ Pulau Pinang turut membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong.

“Tujuan pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas ekspres yang beroperasi pada musim perayaan ini mematuhi peraturan serta undang-undang berkuat kuasa.

“Selain itu, ia bagi memastikan bas berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan di jalan raya,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Unit Falcon JPJ Pulau Pinang turut menjalankan penguatkuasaan kesalahan utama sempena Ops Khas Bulan Perayaan.

Antara sasaran penguatkuasaan ini ialah gagal patuhi isyarat berhenti lampu merah, memandu di lorong kecemasan, potong barisan dan tidak memakai tali pinggang keledar. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here