Lambakan kereta dan motor sewa haram, perkhidmatan teksi ‘pink’ bakal lenyap

586

Perkhidmatan teksi merah jambu (pink) yang menjadi ikon di Pulau Pangkor, Lumut, Perak bakal hilang susulan lambakan kereta dan motosikal sewa haram.

Pengunjung yang tiba di Jeti Pulau Pangkor akan didekati ‘ulat’ yang menawarkan kenderaan sehingga aktiviti tersebut menenggelamkan peranan pemandu teksi yang juga duta kecil pelancongan pulau itu.

Masalah berlarutan hampir 20 tahun itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi yang dipandu oleh penduduk tempatan. 



MUSIM CUTI NAK DAPAT RM300 PUN SUSAH

Pemandu teksi pink, Khairol Azizi Abdul Rahman, 36, berkata, aktiviti kereta dan motosikal sewa haram itu menjejaskan lebih 60 peratus pendapatan pemandu perkhidmatan teksi pink.

Menurutnya, musim perayaan merupakan ‘lubuk emas’ untuk memperoleh pendapatan lebih berikutan pelancongan merupakan sumber utama ekonomi penduduk di pulau itu.

“Saya berhabis banyak wang termasuk menjual kedai bagi membeli sebuah van untuk dijadikan teksi. Ini kerana industri pelancongan Pulau Pangkor beberapa tahun lalu sangat rancak dengan lokasi-lokasi menarik, makanan yang enak selain sudah menjadi pulau bebas cukai.

“Kini kalau hendak teruskan kerja ini saya rasa tidak berbaloi. Musim perayaan inilah kami berharap dapat pendapatan lebih tetapi dicantas oleh golongan yang mengusahakan kereta dan motosikal sewa haram ini.

“Selalunya musim cuti boleh dapat sekitar RM600 tapi tahun ini hendak dapat RM300 pun susah,” katanya.

Khairol Azizi mendakwa, operasi kereta dan motosikal sewa haram itu disifatkan membahayakan kerana tiada perlindungan insurans.

“Kita tidak boleh halang pengunjung untuk memilih perkhidmatan sewa ini tetapi ia amat berbahaya kepada mereka dan penduduk tempatan.

“Banyak kemalangan berlaku tetapi pemilik kenderaan itu akan selesaikan kes ikut cara sendiri. Jika kemalangan terjadi dalam kalangan ahli keluarga saya, sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Seorang lagi pemandu teksi pink, Shahrizal Saed, 38, mendakwa operasi kereta dan motosikal sewa haram sekitar pulau itu didalangi oleh penduduk tempatan.

“Lebih mengecewakan ejen-ejen kereta dan motosikal sewa haram ini akan memburukkan imej pemandu teksi dengan menyebarkan khabar palsu kononnya harga yang dikenakan mahal hingga ratusan ringgit untuk seorang pelanggan.

“Hakikatnya, harga sebenar kami serendah RM10 manakala untuk mengelilingi pulau pula hanya RM100 untuk satu van. Harga ini mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

Justeru, Shahrizal menggesa agensi kerajaan terlibat termasuk Majlis Perbandaran Manjung (MPM) supaya bertindak tegas terhadap khidmat kenderaan haram itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here