Bercakap tentang Bugatti Chiron dan model lain seperti Divo, Centodieci, Bolide, dan Mistral, banyak perhatian ditumpukan pada enjin 8.0 liter quad-turbo W16 yang besar dan kuasanya yang menghampiri 2,000hp.
Sebenarnya lebih banyak bahagian lain yang akan mencuri perhatian anda pada jenama hypercar itu.
Misalnya, Bugatti Bolide yang menggunakan janakuasa W16 yang ditala dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 1,825hp apabila menggunakan bahan api perlumbaan 110 oktana.
BREK TERBESAR & RINGAN BREMBO
Justeru itu, menerusi imej yang dikongsi Bugatti baru-baru ini mendedahkan hypercar itu memerlukan komponen brek yang jitu untuk menjinakkan kuasa dan berat jentera.
Tenaga menghentikan hypercar liar itu datang daripada Brembo. Bugatti menyatakan memilih brek ‘karbon-karbon’ terbesar yang pernah dipasang pada hypercar litar.
Ia menggunakan angkup monoblok lapan omboh di depan dan enam omboh di belakang, masing-masing diperbuat daripada aluminium salutan nikel.
Keempat-empat pengapit mencengkam cakera karbon 15.3 inci, walaupun bahagian depan mendapat pad dan rotor yang tebal sedikit. Terdapat juga empat pad pada setiap roda.
Apabila ditambah semuanya, ia didatangkan dengan sistem brek karbon terbesar yang pernah dicipta oleh Brembo. Bahkan, terima kasih kepada pembinaan karbon yang mana setiap cakera beratnya hanya 3.175 kg.
Bukan sahaja besar, tetapi Bugatti mengatakan keseluruhan sistem brek mengikuti piawaian kelas tertinggi dalam perlumbaan, seperti kelas hypercar Le Mans dan Formula 1.
“Membangunkan sistem brek untuk Bugatti Bolide merupakan satu cabaran yang unik dan sangat mengujakan bagi Bahagian Prestasi Brembo dan kami berbangga dengan apa yang kami capai.
“Menggunakan sebatian karbon yang serupa dengan Formula 1 dengan saiz dan kuasa Bolide, kami dapat menghasilkan reka bentuk yang paling ringan,” kata Ketua Pegawai Operasi, Mario Almondo.
ALIRAN UDARA
Untuk memastikan brek tetap bagus dan sejuk, Bugatti menghabiskan masa yang lama untuk mempertimbangkan cara udara bergerak di atas kereta.
Tentunya dengan mempertimbangkan downforce, pengeluar asal Perancis itu mereka saluran penyejuk untuk menyalurkan udara ke brek bagi menghindari komponen menjadi terlalu panas.
Selain itu, fungsi brek direka bentuk bagi pelbagai tahap pemandu dengan menampilkan mod pemanduan ‘wet’ yang membolehkan komputer Bolide membuat pelarasan halus pada sistem kawalan untuk mendorong understeer.
Ketua Pegawai Teknologi Bugatti, Emilio Scervo menyatakan kerjasama dengan Brembo bukan saja mereka bentuk sistem brek tetapi mengatasi permintaan luar biasa Bolide.
Bugatti hanya menghasilkan 40 unit Bolide yang mana anggaran harga bermula dari USD4 juta (RM19.1 juta) dan penghantaran dijangkakan awal tahun ini.