Selepas pembukaan tempahan beberapa hari lalu, GWM Malaysia rasmi previu kenderaan elektrik (EV) Ora 07 kepada media.
Dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat, EV asal China itu didatangkan dengan dua varian iaitu:
- Long Range : Bateri litium iron fosfat (LFP) 83.5kWh, 640km, motor elektrik bahagian depan dengan output 201hp/340Nm, kelajuan maksimum 170kmj
- Performance : Bateri litium iron fosfat (LFP) 83.5kWh, 550km, dua motor elektrik dengan output 402hp/680Nm, kelajuan maksimum 180kmj
Panjang Ora 07 pula adalah 4,871mm, lebar (1,862mm) dan tinggi (1,500mm) serta jarak roda 2,870mm.
Pesaing kepada Tesla Model 3 dan BYD Seal itu menampilkan rekaan badan fastback dengan daya seretan 0.22.
Ia kemudian dilengkapi dengan unit lampu utama bentuk oval LED dengan rim 18 atau 19-inci, spoiler belakang aktif dan pintu sisi tanpa bingkai cermin.
Manakala pada bahagian kabin tersedia skrin hiburan 12.3-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, bumbung panorama bersaiz besar, sistem audio Harman Infinity dengan 11 pembesar suara, ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay serta pendingin hawa dua zon.
Buat masa ini, GWM Malaysia tidak mendedahkan maklumat pengecasan. Bagaimanapun, sama seperti Thailand, Ora 07 disokong dengan pengecasan AC sehingga 11kW dan DC 88kW.
Ia juga menyokong teknologi V2L sehingga 3.3kW yang boleh mengecas peralatan lain. Ora 07 didatangkan dengan pilihan warna badan Crystal Purple, Amethyst Gray dan Jade White. Manakala kabin ditawarkan dengan warna hitam atau coklat.
Demi ketenangan minda pemilik, Ora 07 didatangkan dengan sistem keselamatan standard lane departure system, bantuan kekal lorong, pengesanan titik buta, intelligent evasion, pengesanan papan tanda dan lain-lain.