Baling syiling tanda ‘tuah’ ke dalam enjin, pesawat China tangguh penerbangan 4-jam

383

Sebuah penerbangan di China ditangguhkan lebih empat jam pada hari Rabu selepas seorang penumpang melemparkan syiling ke dalam enjin pesawat, menurut media negara itu.

Penerbangan China Southern Airlines CZ8805 tersebut dijadualkan berlepas dari bandar selatan Sanya ke Beijing sekitar jam 10 pagi waktu tempatan pada 6 Mac.



Namun, pesawat tersebut masih tidak melakukan penerbangan sehingga jam 2.16 petang, berdasarkan penjejakan penerbangan Flightradar24 dan Flight Aware. 

Menerusi video yang dikongsi menunjukkan seorang pramugari menyoal jumlah syiling yang dilempar kepada seorang penumpang.

Penumpang yang identitinya tidak didedahkan menyatakan membaling tiga hingga lima syiling. Dia kemudian dibawa keluar oleh polis lapangan terbang.

Hasil pemeriksaan keselamatan menemui syiling tersebut tanpa menyebut jumlah.

“Kakitangan penyelenggaraan pesawat menjalankan pemeriksaan keselamatan yang komprehensif dan memastikan tiada isu keselamatan sebelum berlepas,” kata perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan itu.

China Southern Airlines mengeluarkan amaran terhadap “tingkah laku tidak beradab” di akaun rasmi media sosial Weibo, mengatakan membaling syiling ke pesawat menimbulkan ancaman keselamatan penerbangan dan akan berdepan hukuman. 

Bagaimanapun, kejadian berkenaan sering berlaku dalam kalangan rakyat China yang mana segelintir mempercayai ia sebagai membawa ‘tuah’.

Oktober lalu, penerbangan China Southern Airlines ditangguhkan di Guangzhou selepas seorang penumpang membaling syiling ke arah pesawat.

Pada 2021, penerbangan GX Airlines antara Weifang dan Haikou dibatalkan apabila beberapa syiling yang dibungkus dengan kertas merah ditemui di atas tanah.

Pada 2017, seorang penumpang warga emas melemparkan syiling ke pesawat China Southern Airlines ketika menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai, mendakwa “doa untuk penerbangan yang selamat.”

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here