Tiga terowong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jumah panjang 1,309 meter di Bentong berjaya ditembusi dalam sehari menjadikan 30 terowong sepanjang jajaran ECRL selesai dengan kerja pengorekan setakat ini.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyatakan tiga terowong tersebut adalah :
- Bentong 1 sepanjang 561 meter
- Terowong Kampung Lentang 1 (270 meter)
- Terowong Kampung Lentang 2 (478 meter)
Ketua Pegawai Eksekutif ECRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata projek ECRL mencapai kejayaan baharu dengan 30 penembusan terowong yang mana pencapaian tersebut didokong teknologi pengorekan terowong canggih dan kerjasama erat pasukan ECRL di jajaran 665km.
“Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak akan siap pada Disember 2026 memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi telah berjalan dengan lancar mengikut jadual.
“ECRL secara keseluruhan mencapai kemajuan 62.40 peratus setakat Februari lalu yang disokong oleh 23,000 pekerja di kira-kira 1,900 tapak pembinaan di sepanjang jajaran di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya.
Pembinaan terowong ECRL di Bentong membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimum sebanyak 0.9 peratus dan mengurangkan penebangan hutan terbuka dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan tersebut.
Projek ECRL melibatkan pembinaan sebanyak 41 terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69km di sepanjang jajarannya dengan 21 terowong terletak di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala 20 terowong di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).