Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak lagi menyalurkan elaun Orang Kurang Upaya (OKU) kepada seorang penerima yang didapati mengemis hingga mampu memiliki kereta Proton X70 Premium.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata selain elaun RM450 yang dihentikan mulai bulan ini, lelaki itu turut diberi amaran dan melengkapkan surat aku janji untuk tidak mengemis.
“Siasatan mendapati dia bekerja sebagai penyelia syif di sebuah syarikat bas dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.
“Justeru, beliau tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Lelaki yang cacat pada kedua-dua tangannya itu dilapor memperoleh pendapatan hingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil sumbangan orang ramai di pasar malam sebelum perbuatan itu dibongkar JKM Maran pada Februari lalu.
Sementara itu, Noraini berkata, Akta Orang-Orang Papa 1977 tidak mempunyai hukuman punitif bagi golongan yang tertakluk di bawah perundangan itu mengeksploitasi kekurangan diri untuk menjana kemewahan.
Katanya, kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 untuk melihat semula akta berkenaan secara komprehensif bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan.