Sebanyak 268 topi keledar Arai ‘celup’ yang popular dalam kalangan penunggang motosikal, disita dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Mertajam, semalam.
Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama wakil pemilik hak cipta jenama berkenaan, dan merampas topi keledar bernilai RM70,240.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata pemeriksaan mendapati topi keledar itu berjenama TSR, namun mengandungi tanda karya seni Arai melibatkan pelbagai model antaranya Nakano Shukiken Silver, Black Samurai dan Oriental Blue.
“Tindakan itu didapati satu kesalahan yang melanggar Akta Hak Cipta 1987 dan sitaan dibuat terhadap kesemua barangan tersebut bagi tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, KPDN negeri memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Hak Cipta 1987.