Bangkai harimau dahan ditemui di Lebuhraya WCE

258

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima laporan berhubung penemuan bangkai harimau dahan di KM253.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Taiping pada Rabu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, siasatan mendapati mamalia atau nama saintifiknya Neofelis nebulosa itu dipercayai telah mati dilanggar kenderaan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, harimau dahan jantan seberat 20 kilogram itu dianggarkan berusia lima tahun.



“Kita telah ambil karkas atau bangkai haiwan ini pada petang semalam (Rabu).

“Kita percaya haiwan liar ini telah mati dua hari sebelumnya berdasarkan keadaan bangkai yang telah kembung dan busuk,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 22 saat di media sosial memaparkan bangkai seekor harimau dahan ditemui dekat besi penghadang jalan.

Kejadian itu merupakan kemalangan pertama membabitkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE selepas dibuka kepada pengguna pada 12 Mac lalu.

Jajaran sepanjang 35.5km itu terdapat lintasan hidupan liar yang dibina khas merentasi Hutan Simpan Bubu khusus untuk memastikan ekosistem binatang-binatang liar kekal terpelihara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here