Lupus kenderaan terbiar, buruk melalui e-Dereg, tidak perlu lagi ke JPJ

712

Kerajaan memperkenalkan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (e-Dereg) bagi membantu menangani masalah lambakan kenderaan lusuh dan terbiar dalam kawasan perumahan.

Inisiatif terbaru dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bagi memudahkan pemilik kenderaan motor lusuh dan terbiar membatalkan pendaftaran secara online. 



Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di kawasan perumahan sudah lama membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk setempat.

Sistem e-Dereg menjadi antara cara terbaik menyelesaikan masalah berkenaan tanpa memerlukan pemilik asal pergi ke pejabat JPJ untuk proses nyahdaftar kenderaan yang rumit.

“Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur.

“Pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar berkenaan.

“Mengambil kira perkara ini, sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik asal yang berhasrat melupuskan kenderaan melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya.

TUNDA KENDERAAN DITANGGUNG AATF BERLESEN

Katanya, sebagai permulaan, sistem e-Dereg yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan E-Auto Sdn Bhd dilaksanakan dengan pihak Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) berlesen iaitu Car Medic Sdn Bhd.

Difahamkan, pemilik kenderaan perlu menghubungi Car Medic untuk mengatur temujanji bagi tarikh menunda kenderaan dan pemilik diperlukan hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg.

Anthony berkata, yuran tunda akan ditanggung Car Medic dan pemilik kenderaan juga akan diberikan token pampasan bergantung kepada kondisi dan model kenderaan serta jarak lokasi tunda.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, dengan menggunakan khidmat AATF, pemilik kenderaan akan diberi jaminan bahawa semua proses akan dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Ini juga menjamin kenderaan atau komponen yang dilupuskan itu tidak digunakan untuk kegiatan jenayah atau digunakan semula dengan cara yang salah. Ini kerana kedai besi buruk atau kedai potong tidak ada sistem untuk menyah-daftar kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya meminta lebih ramai pihak yang berminat menjalankan perniagaan dan perkhidmatan pelupusan kenderaan motor untuk memohon lesen AATF dari pihak JAS dan turut boleh diberi akses melalui sistem e-Dereg ini di seluruh negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here