Seorang suami sanggup meredah sejauh 270km setiap hari untuk bekerja di ibu kota Kuala Lumpur kerana lebih memilih menetap bersama ahli keluarga di Felda Chemomoi, Pahang.
Ayah kepada tiga orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Reno, 31, berkata, dia mengambil masa sekitar dua jam 30 minit bergantung pada keadaan cuaca.
Menurutnya, jarak perjalanan sehala dari kediamannya adalah 135km dengan menggunakan jalan pedalaman di kawasan Manchis-Telemong-Karak untuk ke KL.
“Saya menetap di Taman Desa Baris di kampung yang bersebelahan dengan Felda Chemomoi, jadi tempoh perjalanan kadang-kadang tidak menentu.
“Kalau motor CC kecil, saya akan bawa dengan kelajuan maksimum 120kmj termasuk berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R) sekitar 1 jam 30 minit,” katanya.
Reno yang bekerja di kilang swasta di Keramat menceritakan dia mula berulang alik dari Pahang sejak 2016 dan menetap di Kuala Lumpur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika Covid-19 melanda.
Ujarnya, dia memulakan semula perjalanan sejauh 270km sehari pada pertengahan 2023 atas faktor kos sara hidup tinggi memandangkan hanya dia yang bekerja serta menanggung ahli keluarga lain.
“Pada 2019 saya berkahwin, tapi jodoh tak panjang dan tiada anak. Jadi saya menetap di KL sendirian.
“Pada 2023 pula, saya menikah kali kedua dan mempunyai cahaya mata. Oleh itu, saya buat keputusan untuk menetap sahaja bersama anak dan isteri,” jelasnya.
Ditanya mengenai kos perjalanan, Reno memaklumkan, kira-kira RM600 digunakan untuk kos minyak petrol dan selenggara motosikal manakala RM400 untuk kos makanan namun mengikut keadaan kerana kebiasaannya isteri menyediakan bekalan dari rumah.
“Saya akan servis Yamaha 125ZR ini empat hari sekali dan sebulan hampir dua kali tayar akan diganti,” katanya lagi.