Op Aidilfitri, sembilan kesalahan utama dalam radar JPJ

255

Sembilan kesalahan utama ditekankan menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang dilancarkan bermula Isnin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata operasi sehingga 20 April itu dilaksanakan melibatkan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal dan kenderaan penguatkuasa melibatkan kekuatan 382 pegawai dan anggota di Selangor.



Menurutnya, objektif utama dan kaedah pelaksanaan Op HRA ialah menguatkuasakan dengan tegas bagi pematuhan perundangan dan peraturan sembilan kesalahan utama.

“Ini meliputi tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit.

“Selain itu ialah tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan,” katanya.

Azrin berkata, objektif pelaksanaan operasi ini juga bagi memastikan kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat berteraskan slogan ‘Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai ke Destinasi’.

Tambahnya, JPJ juga akan memastikan penguatkuasaan HRA 2024 dilaksana dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Rondaan juga akan dipertingkat di jalan utama dan berisiko kemalangan selain menggunakan kaedah penyamaran serta penggunaan kenderaan ‘unmarked’ bagi penguatkuasaan semua jenis kenderaan,” ujarnya.

Kata beliau, JPJ turut mengenakan larangan pemanduan kenderaan barangan bermula 8 hingga 9 April dan 12 hingga 13 April bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Semoga dengan pelaksanaan Ops HRA 2024 ini akan meningkatkan pematuhan peraturan dan undang-undang serta berhemah di jalan raya.

“Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here