Selama lebih sedekad, jutawan Australia Clive Palmer merupakan penggerak di sebalik rancangan pembinaan Titanic II – replika kapal malang yang karam pada tahun 1912, mengorbankan lebih 2,200 mangsa di dalamnya.
Hanya kira-kira 700 yang terselamat dan jutawan itu berminat untuk mengulangi semula pelayaran berkenaan. Palmer awalnya melancarkan rancangan Titanic II pada 2012, dan sekali lagi pada 2018.
Enam tahun kemudian, beliau melakukannya sekali lagi melancarkan semula projek berkenaan secara rasmi di Sydney Opera House berlatar belakangkan pelabuhan terkenal di bandar itu.
Sekali lagi, persoalannya mengapa?.
“Lebih seronok melaksanakan Titanic daripada duduk di rumah dan mengira wang saya,” katanya yang memperoleh hampir setengah bilion dolar bagi royalti perlombongan setiap tahun.
Bagi Palmer persoalannya bukanlah bagaimana untuk mendapatkan wang, tetapi di mana untuk membelanjakannya.
TERGENDALA LAMA AKIBAT PANDEMIK
Rancangan sedekad lalu itu tergendala akibat pandemik dan projek berjuta-juta dolar itu ditangguhkan apabila pelabuhan ditutup dan penumpang menilai semula risiko dikuarantin di laut.
Palmer yang merupakan Pengerusi Blue Star Line menyatakan tahun ini adalah masa sesuai menghidupkan kembali impian Titanicnya.
“Kami amat berbesar hati mengumumkannya selepas kelewatan global yang tidak dijangka, kami telah menjalin semula hubungan dengan rakan kongsi untuk menghidupkan impian Titanic ll, marilah mulakan perjalanan,” kata Palmer.
Pelan kapal persiaran itu masa sama dengan sebelumnya bagi mematuhi peraturan semasa.
Kini projek itu mencari tender, dengan rancangan pembinaan kapal menjelang akhir tahun, yang mana permulaan kerja pada suku pertama 2025.
Pada masa ini, Palmer menjangkakan pembida yang menang akan berpangkalan di Eropah dan beliau tidak percaya pada piawaian China, katanya kepada pemberita.
PENUMPANG DIGALAKKAN BERPAKAIAN ERA 1900-an
Pada pelancaran semula itu, pasukannya mengedarkan video berdurasi lapan minit yang telah wujud selama beberapa tahun, menunjukkan susun atur kapal dan penampilan setiap bilik, lengkap dengan pelakon yang memakai kostum zaman dahulu.
Penumpang digalakkan berpakaian tahun 1900-an, tetapi tidaklah wajib.
Kapal berukuran panjang 269 meter dan lebar 32.2 meter itu sedikit lebih lebar daripada yang asal. Kapasiti penumpang adalah 2,345 dengan tawaran sembilan dek dan 835 kabin.
Hampir separuh daripadanya dikhaskan untuk penumpang kelas pertama. Manakala penumpang kelas ketiga akan dihidangkan dengan ‘stew’ dan kentang lenyek di meja panjang di ruang makan bersama – seperti Titanic asal.
Namun, pilihan makanan lain turut disediakan untuk mereka yang mahukan pengalaman yang kurang asli.
Lebih seabad selepas Titanic karam, para penyelidik dan ahli sejarah tetap terpikat dengan kisahnya.
Bahkan, misi melihat kapal itu berakhir dengan tragedi pada Jun tahun lalu apabila kesemua lima penumpang kapal selam Titan terbunuh akibat letupan.
Palmer merupakan individu ke 732 terkaya di dunia dan jadual pelayaran sulung Titanic II itu dijadualkan pada 2027 dari Southampton, England ke New York.