#TahukahAnda : Rekod penerbangan tanpa henti 64 hari ini masih belum dapat dipecahkan

517

Tahukah anda, sehingga kini rekod penerbangan paling lama di udara Robert Timm dan John Cook masih belum dapat dipecahkan oleh mana-mana pencabar.

Guinness World Record itu dicipta 64 tahun lalu pada 1958 yang mana juruterbang Timm dan Cook menerbangkan pesawat empat tempat duduk di ruang udara Las Vegas selama 64 hari, 22 jam dan 19 minit tanpa mendarat.

Ia melibatkan penerbangan sejauh 240,000km, iaitu enam kali mengelilingi bumi atau 15 penerbangan Sydney ke New York tanpa mendarat. 



IDEA UNTUK PROMOSI HOTEL HACIENDA

Idea menerbangkan pesawat tanpa henti itu tercetus pada 1956, apabila seorang ahli perniagaan ingin mempromosikan hotel Las Vegas miliknya yang baru dibuka. 

Dari situ, mekanik mesin slot, Robert Timm yang merupakan juruterbang pengebom Perang Dunia ke-2 tampil dengan idea berkenaan. 

Timm meyakinkan ahli perniagaan itu untuk membiayai percubaan penerbangan enduran menggunakan nama Hotel Hacienda pada badan pesawat.

MODIFIKASI PESAWAT CESSNA 172

Lalu Timm menemukan sebuah Cessna 172 dengan nombor pendaftaran N9217B. Menerusi pertolongan mekanik dipercayai, mereka menghabiskan masa setahun mengubahsuai Cessna itu. 

Antara perubahan yang dilakukan adalah bahagian kipas serta modifikasi paling signifikan termasuklah tangki minyak tambahan pada perut pesawat untuk tambahan 177 liter bahan api pada sayap.

Tangki minyak 360 liter pada perut pesawat dilengkapi dengan pam elektrik untuk menghantar bahan api ke tangki utama dan mereka juga memasang semula saluran minyak untuk menukar bahan api dan penapis tanpa mematikan enjin. 

Tambahan lain termasuk tilam untuk tidur, sinki kecil dan tandas kem boleh lipat.

DUA KALI GAGAL

Percubaan pertama untuk memecahkan rekod dunia penerbangan 47 hari pada 1949 tidak berjaya. Daripada tiga percubaan pertama, Timm hanya mampu terbang selama 17 hari.  Sementara itu, pasukan lain mencatat rekod baharu lebih 50 hari.

Berikutan beberapa isu ketidakserasian dengan pembantu juruterbang, Timm mendapat pembantu juruterbang dan mekanik baharu iaitu Cook. Kedua-duanya berlepas pada 4 Disember 1958, jam 3.52 petang.

Pada permulaan, pesawat diterbangkan rendah di lapangan terbang bagi membolehkan kereta pengejar melukis jalur putih pada tayar pesawat agar tiada penipuan dengan melakukan pendaratan rahsia.

Pasangan juruterbang itu menghabiskan sebahagian besar masa terbang di atas padang pasir sekitar Las Vegas, kadangkala melencong ke Los Angeles untuk peluang promosi TV.

GUNA TRAK ISI MINYAK

Bagaimana mereka mengisi minyak tanpa mendarat?. Dua kali sehari, sebuah trak yang dipasang dengan tangki bahan api dan pam akan bertemu dengan pesawat itu di laluan lurus lebuhraya tertutup di sepanjang sempadan California-Arizona.

Cessna akan terbang kira-kira 20 kaki dari tanah dan menggunakan winc elektrik untuk menurunkan cangkuk dan menyangkut hos mengisi minyak.

Timm atau Cook akan berdiri di atas platform di luar pintu dan memasukkan hos ke dalam tangki. Proses mengisi minyak itu mengambil masa kira-kira tiga minit dan sepanjang penerbangan, mereka mengisi minyak sebanyak 128 kali.

Bahkan, setiap hari satu liter air akan dihantar ke pesawat untuk Timm dan Cook membersihkan diri.

Selepas 39 hari penerbangan, mereka berdepan masalah yang mana generator rosak sehingga menyebabkan pam bahan api, lampu dan sistem pemanas tidak berfungsi. 

Mereka bergantung pada pam tangan untuk memindahkan bahan api dan mengisi minyak dalam keadaan gelap.

Walaupun sudah melepasi rekod sedia ada, mereka memutuskan untuk terus terbang selama mungkin.

Kemudian, autopilot asas yang dipasang gagal berfungsi beberapa hari kemudian. Menjelang awal Februari, palam pencucuh dan kebuk pembakaran dipenuhi dengan karbon.

Ia menyukarkan pesawat mendaki dengan muatan penuh selepas mengisi minyak. Lalu Timm dan Cook memutuskan untuk mendarat pada 7 Februari 1959.

Selepas pemeriksaan cat putih pada tayar,  Timm dan Cook berjaya mencipta rekod baharu.

Robert Timm meninggal dunia pada 1976 dan John Cook pada 1995, kedua-duanya di Las Vegas, dan Hotel Hacienda dirobohkan pada Disember 1996.

Cessna 172 tersebut tergantung di atas karusel bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Vegas Harry Reid (LAS).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here