Hadiah utama Kia Picanto sempena Malaysia Autoshow 2018 anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) sudah mempunyai pemiliknya.
Individu yang bertuah itu adalah S Velu Kumar, 54, salah seorang daripada 215,853 pengunjung yang menghadiri edisi keempat Malaysia Autoshow di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dari 26 hingga 29 April lalu.
“Hadiah Kia Picanto baru ini kena pada masanya kerana kereta yang saya gunakan sekarang adalah kereta lama.
Saya tidak sabar untuk menggunakannya untuk berulang ke tempat kerja di Subang Jaya,” katanya yang juga seorang eksekutif.
Mr Velu menang Kia Picanto
Ketua Pegawai Kewangan MAI Mohd Sazali bin Mohamed Amin, menyerahkan kunci kereta tersebut kepada Velu Kumar pada majlis penyampaian hadiah di ibu pejabat MAI di Cyberjaya.
Selain Velu Kumar, seramai 30 pembeli kereta sepanjang pameran berlangsung turut memenangi baucar minyak bernilai RM1,000 setiap satu.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Malaysia Autoshow 2018 termasuk pemanduan off-road yang mengujakan, pengalaman karting dan sesi pandu uji.
Buat julung kalinya dalam tempoh empat tahun, Malaysia Autoshow memberikan bayangan sepintas lalu mengenai masa akan datang. Serta rancangan industri automotif dalam menghadapi cabaran untuk menjadi pemain global yang berdaya saing dalam bidang pengangkutan. Khususnya dalam mobiliti menerusi Intelligent Mobility Experience (IMEX).
IMEX membawakan pengalaman secara langsung berkenaan peluang pekerjaan dan perniagaan pada masa akan datang dalam sektor-sektor seperti pembuatan pintar dan ketersambungan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAI Dato’ Madani Sahari melahirkan rasa puas hati dengan penyertaan beberapa jenama automotif dalam pameran bertemakan ‘360-degree Mobility Experience’ itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami dan syarikat automotif yang mengambil bahagian kerana menjayakan pameran pada tahun ini.
“Kami akan terus mempergiatkan usaha untuk membawakan acara yang lebih besar dan lebih baik supaya dapat menandingi pameran automotif lain di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, lebih daripada 150 kenderaan termasuklah beberapa model terkini di pasaran serta kereta klasik Volvo dipamerkan pada acara berkenaan.