Tiga model Vespa iaitu model Vespa Primavera 150, Vespa Sprint 150 dan Vespa GTS 300 Super Sport telah dilancarkan oleh Naza Premira Sdn Bhd ke pasaran tempatan.
Hampir 70 peratus sasaran jualan sebanyak 1,125 unit telah dicapai oleh Naza Premira pada tahun ini. Tiga model baharu itu diyakini dapat mencapai sasaran jualan menjelang akhir 2018.
Tiga model baharu dari Naza Premira
Vespa Primavera
Vespa Primavera merupakan skuter Vespa ikonik versi pertama yang mula diperkenalkan pada tahun 1968. Skuter kecil dan lincah ini dilengkapi dengan enjin penuh kuasa. Ia menjadikan kenderaan ini sebagai impian untuk dimiliki golongan muda.
Skuter itu dikuasakan dengan enjin i-get empat lejang satu silinder bersesaran 150cc. Ia menjana kuasa sebanyak 9.5kW pada 7,750rpm dan tork 12.8Nm pada 6,500rpm.
Ia dipasang dengan rim aloi aluminium lima jejari bersaiz 12 inci dan merupakan saiz rim paling besar dalam sejarah Vespa. Saiz rim yang besar dapat membantu jentera ini untuk jadi lebih stabil dan selamat.
Vespa Primavera versi baharu ini dapat dibezakan dengan model asal dengan ciri ‘tali leher’ yang tersendiri pada bahagian hadapan. Ia juga dilengkapi dengan kemasan krom pada madgad menjadikan ia lebih versatil.
Jentera itu juga dilengkapi teknologi lampu LED terkini pada lampu hadapan dan belakang. Antara aksesori yang ada pada skuter ini ialah top box, penyandar belakang, top fairing, rak barang krom depan dan belakang.
Dijual dengan harga bermula RM15,600, Vespa Primavera ini hadir dalam tiga warna elegan iaitu beige metalik, hitam dan putih.
Vespa Sprint
Vespa Sprint ini merupakan Vespa moden versi sport daripada Naza Premira. Ia direka dengan pelbagai teknologi terkini dan reka bentuk yang memastikan jentera itu memiliki kestabilan yang lebih tinggi.
Sama seperti Vespa Primavera, ia juga didatangkan dengan kemasan ‘tali leher’ bagi membezakannya dengan model terdahulu. Kemasan ‘tali leher’ itu juga menyerlahkan lagi ciri sporty pada Vespa itu.
Skuter itu dikuasakan dengan enjin i-get empat lejang satu selinder bersesaran 150cc seperti enjin Vespa Primavera. Ia mampu menghasilkan kuasa 9.5kW pada 7,750rpm dan tork 12.8Nm pada 6,500rpm.
Ia diperbuat sepenuhnya daripada besi dan dilengkapi dengan rim aloi aluminium bersaiz 12 inci. Jentera itu juga dipadankan dengan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang.
Adik-beradik Vespa Primavera ini juga hadir bersama pelbagai aksesori seperti kotak belakang, cermin pelindung angin dengan logo Vespa, madgad krom dan grafik ‘Sport’.
Dijual pada harga bermula RM16,400 seunit, ia ditawarkan dengan empat warna sporty yang menarik iaitu biru matt, putih, merah dan kelabu.
Vespa GTS 300 Super Sport
Model ini merupakan model yang paling menarik dan agresif dalam siri keluarga GTS Vespa berbanding model-model lain.
Vespa GTS 300 Super Sport ini dikuasakan enjin Quasar selinder tunggal bersesaran 300cc. Ia menghasilkan 15.6kW pada 7,750rpm dan tork puncak 22Nm pada 5,000rpm.
Penampilannya yang bergaya dan sporty diserlahkan lagi ciri-ciri elegan yang hadir pada model ini seperti cravatta, grafik baharu dan pelana berwarna hitam.
Antara ciri menarik lain yang hadir pada skuter ini ialah sistem ABS dua saluran, sistem kawalan cengkaman ASR, tongkat sisi keselamatan elektrik dan kunci anti-kecurian.
Ditawarkan pada harga bermula bermula RM28,000, Vespa GTS 300 Super Sport ini boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu merah dan kelabu.