Mercedes Benz A-Class kini hadir dengan dua varian yang lebih ranggi dan canggih. Varian yang dimaksudkan ialah A 200 dan A 250.
Kini ia hadir dengan sistem yang lebih canggih dan menggunakan teknologi terkini. Ia digelar sebagai gadget-Car disamping rupanya yang lebih menarik.
A-Class dilengkapi dengan ciri khas daripada Mercedes iaitu ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan ia merupakan sistem multimedia yang unik. Sistem ini seperti sistem telefon pintar dan boleh bersuara seperti SIRI didalam iPhone.
Ia juga boleh mengenal pasti bahasa ringkas dan mengawal pelbagai fungsi dengan hanya ucapkan ‘Hey Mercedes’. Ia boleh mengawal fungsi seperti pilihan lagu, pengawalan lampu, panggilan telefon dan input destinasi.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan papan muka yang sangat versatil dan futuristik dengan skrin paparan info dan meternya yang panjang.
Yang lebih menjadikan ciri dalaman A-class ini lebih agresif ialah corong pendingin hawa yang berbentuk turbin.
Ia menambahkan lagi ciri estetika pada jentera hebat ini dan yang lebih menarik, warna lampu ambient didalam kabin ini boleh ditukar. Lampu ambient ini boleh ditukar kepada 64 pilihan warna yang berbeza.
Tidak kurang hebatnya bagi elemen luaran Mercedes A-Class yang berjiwa muda ini. Ia dilengkapi dengan gabungan reka bentuk dinamik dan konsep pengendalian intuitif.
Ia hadir dengan bonet yang lebih rendah bersama dengan lampu LED yang menonjolkan lagi ciri sporty pada reka bentuk A-Class ini.
Mercedes Benz A200 dikuasakan enjin 1,332cc 4-silinder turbo yang dibina bersama Renault mencapai kuasa maksimum 163hp dan tork maksimum 250Nm. Ia menggunakan transmisi 7-kelajuan dwi-klac basah dari Getrag dengan halaju maksimum 225 kilometer sejam.
Manakala Mercedes Benz A250 menggunakan enjin 991cc 4-silinder turbo dengan kuasa maksimum 224hp dan tork maksimum 350Nm. A250 menggunakan transmisi 7G-DCT dwi-klac basah dengan halaju maksimum 250 kilometer sejam.
Bagi ciri keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan tujuh beg udara, Active Brake Assist (brek kecemasan autonomi) dan Sistem Bacaan Tekanan Udara Tayar. Ia juga dilengkapi dengan Active Parking Assist dengan kamera undur yang membantu pengguna untuk parkir.
Harga bagi Mercedes Benz A200 bermula daripada RM227,888 tanpa insurans dan Mercedes Benz A250 RM263,888 tanpa insuran.
Anda boleh lawati mana-mana dewan pameran Mercedes-Benz berhampiran untuk melihat sendiri A-Class baharu ini dengan lebih jelas.