Kasma Daniel Kasmayuddin perlu muncul juara seandainya mahu menyekat Ahmad Afif Amran daripada bergelar juara keseluruhan CP150 pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu bakal berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 dan 28 Oktober ini.
Kasma yang merupakan pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu ketinggalan sebanyak 49 mata dibelakang Afif.
Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 160 mata dengan hanya 75 mata maksimum menanti pelumba-pelumba yang berbaki tiga pusingan perlumbaan sahaja lagi.
Md Hafiz Nor Azman yang merupakan rakan sepasukan Afif berada di kedudukan ketiga dengan 103 mata. Manakala Md Akid Aziz yang berada di kedudukan keempat tidak mampu lagi memberi cabaran untuk mengejar kedudukan pendahulu setelah mengumpul 73 mata ketika ini.
Sekiranya Afif mendahului Kasma pada perlumbaan kali ini, nampaknya Kasma terpaksa menyerahkan gelaran keseluruhan CP150 miliknya pada musim lepas kepada Afif.
“Saya hanya ada satu misi penting pada minggu ini iaitu memenangi perlumbaan. Hanya dengan memenangi perlumbaan sahaja saya mampu menyekat Afif daripada mengesahkan gelaran lebih awal. Jika tidak, saya terpaksa menyerahkan gelaran tersebut kepada Afif,” jelas Kasma.
“Namun misi tersebut bukan mudah kerana Afif begitu konsisten pada musim ini. Saya perlu merancang strategi terbaik untuk mengalahkannya sama ada mengekori dibelakang dan mencari ruang untuk memintas di penghujung saingan. Cara lain yang boleh saya lakukan adalah dengan cuba menjarakkan diri dari awal saingan lagi.” tambahnya lagi.
“Pada masa sama bantuan rakan sepasukan sangat penting. Selain perlu menyediakan jentera yang pantas, mereka juga perlu membantu menyekat Afif seandainya saya berada di depan. Selain psikologi dan strategi, mental saya juga perlu kuat untuk kekal bertenang sepanjang perlumbaan di Batu Kawan ini.”
Ayuh sama-sama kita nantikan siapa yang bakal bergelar juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia. Nantikan berita selanjutnya daripada kami.