Pelancaran Motosikal Elektrik Voltrix & Program Pembangunan Usahawan PNS “Bikers Pit”

2693

Tiga model motosikal terbaru diperkenalkan oleh BKZ Motor Sdn Bhd selaku pemasang, pemasar dan pengedar motosikal elektrik jenama Voltrix dan bakal dijual tak lama lagi.

Model terbaru motosikal tersebut ialah Voltrix Hunter (RM4,750), Voltrix Milano (RM3,950) dan Voltrix SG60 (RM4,950). Kesemua model tersebut dijangka mula berada di pasaran mulai 2019.

BKZ akan membangunkan program francais pembangunan usahawan motosikal bumiputera di bawah jenama “Bikers Pit”.  Program ini mendapat  sokongan baik daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan ia akan bertumpu di kawasan luar bandar khususnya kawasan-kawasan Felda.



Program ini dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Litar Antarabangsa Sepang. Turut hadir ialah Pengasas United Maex Sdn Bhd, He Ying Feng.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BKZ Motor Sdn Bhd, Isma Yusnor, program ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan peniaga Bumiputera berkecimpung dalam perniagaan motosikal.

Pakej menarik untuk peniaga

Terdapat tiga pakej menarik yang ditawarkan kepada peniaga melalui program ini. Pakej Oren yang bermula dari RM25,000 dengan tiga buah motosikal diberikan untuk pameran serta ruang pameran di kompleks membeli belah.

Pakej Biru pula memerlukan modal permulaan sebanyak RM50,000 dengan ruang pameran disediakan. Ia beserta lima buah motosikal untuk pameran, alat ganti, trak pusat servis dan deposit untuk trak.

Manakala Pakej Perak merangkumi modal permulaan RM250,000, 20 buah motosikal, model bilik pameran, trak pusat servis, spa motosikal, perkhidmatan tunda serta bayaran permulaan untuk trak.

Isma berkata, pihaknya merancang untuk memberi tawaran bagi membuka konsep francais ini antara 10 hingga 20 buah dalam setahun.

Tambahnya lagi, program ini akan dipantau sendiri oleh PNS. Ini adalah untuk memastikan ia dapat memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera.  Segala bantuan itu akan diberikan secara berperingkat bergantung kepada kesediaan usahawan tersebut.

Selain itu, pihaknya turut merancang untuk membuka dan memberi lebih banyak peluang kepada peneroka Felda bagi menjalankan perniagaan ini.

“PNS akan memberi latihan untuk membuka bengkel serta juga latihan untuk mekanik,” katanya.

Untuk keterangan lanjut sila layari www.bkzmotors.com

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here