Para peminat tegar BMW pasti tergugat melihat 13 koleksi BMW yang ‘rare’ ini. Enthusiast Auto Group (EAG) bakal menjual koleksi hebat BMW ini yang berjumlah $2.3 juta (RM9.6juta) kesemuanya.
Koleksi itu terdiri daripada empat model M3, Z1, Z3 Coupe, Z4 M Coupe, Z8, dua unit M5, M6, 1M Coupe dan BMW M1.
BMW M1 dikatakan paling istimewa dalam koleksi ini. Ini kerana hanya 399 unit model ini yang dibina dan ia merupakan keluaran BMW pertama yang menggunakan enjin pertengahan. M1 merupakan model tahun 1981 dan itu merupakan tahun terakhir jentera itu dihasilkan.
Empat unit M3 itu pula terdiri daripada varian 1990 E30 Sport Evolution, 1995 E36 Lightweight, 2005 E46 Competition Package, dan 2013 E92 Lime Rock Park Edition. Setiap varian mempunyai gaya tarikannya yang tersendiri namun E30 dan E36 yang paling menarik.
Manakala model Z1 pula sangat istimewa kerana jentera itu merupakan generasi pertama model BMW Z Series dan masih dikeluarkan sehingga kini. Model Z4 terbaru akan dikeluarkan pada tahun 2019 akan datang.
Z8 juga sangat ‘rare’ kerana hanya sebanyak 5,703 unit model itu dibina diseluruh dunia. Begitu juga dengan model Z3 dan Z4 M Coupe dengan reka bentuknya yang unik dengan cara tersendiri.
Akhir sekali, dua M5 yang dijual dalam koleksi ini merupakan varian E28 1988 dan E39 2002. Kedua varian ini menjadi kegilaan peminat BMW klasik.
Syarikat yang menjual koleksi ini mengekalkan ciri-ciri asal pada setiap kereta vintaj itu termasuk gambar-gambar dan maklumat sejarah semua kereta itu.
Harga yang ditawarkan sangat mahal namun EAG akan menanggung kos penghantaran kepada mana-mana lokasi dalam Amerika Syarikat.
Walaupun harga yang ditawarkan sangat mahal namun ada yang berpendapat harga itu sangat berbaloi untuk 13 unit BMW daripada pelbagai model.