Kawasaki yang telah memiliki 19 peratus saham dalam MODENAS kini mempunyai 30 peratus pegangan saham. Ini berikutan perjanjian yang dimeterai oleh DRB Hicom Berhad dengan Kawasaki Heavy Industries, Ltd (KHI) untuk menjual 14,300,000 unit saham biasa dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas).
Saham
KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (convertible preference shares, “CPS”) yang akan dikeluarkan oleh MODENAS. Apabila ditukar, pegangan ekuiti KHI didalam syarikat motosikal nasional tersebut akan meningkat ke 48%.
CPS tersebut hanya akan ditukar tertakluk kepada MODENAS mencapai beberapa tanda aras yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan Kumpulan bagi DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya struktur ekuiti baharu tersebut akan memberi manfaat kepada MODENAS.
“KHI telah memegang ekuiti didalam pengeluar motosikal ini sejak penubuhannya lagi. Ketika itu pun, produk mereka telah membantu pengeluar motosikal ini mencapai persada carta jualan di pasaran motosikal tempatan. Pegangan ekuiti yang lebih besar ini juga bererti KHI akan mengambil bahagian didalam operasi pengeluar motosikal ini , berbanding hanya sebagai pemegang saham. Saya yakin pengalaman dan kepakaran teknikal KHI akan membawa kepada suatu fasa produk yang lebih baik untuk pelanggan MODENAS, terutamanya didalam segmen street bike serta sports bike”, kata Syed Faisal.
KHI mula mengeluarkan motosikal Kawasaki pada tahun 1960, dan kini antara syarikat motosikal yang disegani di dunia. Produk mereka dihasilkan di beberapa kilang di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Filipina, India, Thailand dan Indonesia, selain di Jepun.
Jenama Kawasaki juga mempunyai ramai peminat di Malaysia, sejak ia mula dipasarkan di sini dalam tahun 70-an, dan antara model popular mereka adalah Ninja, Versys dan GTR.
“Kawasaki dan MODENAS bukan tidak mengenali sesama sendiri, maka sinergi antara kedua-dua kumpulan akan memastikan kerjasama dengan berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran domestik. Rakyat Malaysia telah lama menggemari produk dari Kawasaki, yang dikenali sebagai jenama global yang berkualiti dan mempunyai rekod yang kukuh di arena sukan bermotor”, tambah Syed Faisal.
Kerjasama
Kerjasama antara MODENAS dan KHI bermula dengan penubuhan syarikat motosikal nasional tersebut pada tahun 1995, dengan KHI memegang 19% ekuiti. Selain motosikal, pengeluar motosikal ini turut menghasilkan beberapa komponen untuk KHI.
Kilang MODENAS di Gurun, Kedah mempunyai keupayaan pengeluaran 130,000 unit setahun. Produk-produk awal pengeluar motosikal ini diasaskan kepada model-model Kawasaki, dan antara yang paling popular adalah model Jaguh, sebuah cruiser 125cc yang diambil dari model Kawasaki Eliminator 125. Model paling berjaya pengeluar motosikal ini di awal penubuhan mereka pula adalah Kriss 110, yang diasaskan kepada Kawasaki Kazer 110.