Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ ialah muscle car yang menyamar sebagai sedan 4-pintu

3803

Setelah mula diperkenalkan pada Geneva Motor Show 2018, Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ kini tiba di Malaysia. Walaupun membawa nama GT, ia bukanlah semata-mata Mercedes-AMG GT versi empat pintu. Secara teknikalnya, GT 63 S ini dibangunkan dari platform sedan E-Class.

Selain itu, berbanding dengan Mercedes-AMG GT yang berenjin depan dan mempunyai kotak gear di gandar belakang untuk agihan berat optima, kotak gear GT 63 S ini dipasang dengan enjin di depan, seperti sedan konvensional.



Mercedes-Benz Malaysia menawarkan tiga varian untuk AMG GT 4-pintu ini;

GT 63 S 4Matic+: RM1,798,888

GT 53 4Matic+: RM1,298,888

GT 43 4Matic+: RM1,098,888

Enjin, sistem pacuan dan prestasi

Mercedes-AMG GT 63 S ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang menghamburkan 630hp pada 5,500-6,500rpm dan 900Nm tork pada 2,500-4,500rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi MCT 9G automatik 9-kelajuan yang memberikan pecutan 0-100km/j dalam 3.2 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 315km/j.

AMG GT 53 dan GT 43 pula mendapat enjin 3.0-liter V6 bi-turbo tetapi dengan output kuasa berbeza. GT 53 menghasilkan 435hp dan 520Nm tork manakala GT 43 menghasilkan 367hp dan 500Nm tork. Pecutan dari pegun ke 100km/j untuk GT 53 dan GT 43 masing-masing adalah 4.5 dan 4.9 saat.

Standard pada semua AMG GT 4-Door ini ialah sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Walaubagaimanapun, pemandu boleh memilih Drift Mode untuk pemanduan pacuan roda belakang sahaja.

Juga standard pada GT 63 S adalah Dynamic Plus Package dan sistem stereng empat roda aktif. Dengan kuasa dan prestasi pecutan menakjubkan, Mercedes-AMG GT 63 S diberikan sistem brek AMG dengan cakera besar, angkup brek enam-omboh, dan unik pada S, angkup brek berwarna kuning.

Luaran

Keseluruhan rekaan luaran Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ mengambil konsep Sensual Purity dengan elemen menyerlah dan permukaan konveks melengkung.

AMG GT 63 S 4-pintu ini mengambil beberapa ciri dari AMG GT 2-pintu seperti gril Panamerica, Jet Wing depan, Airpanel, badan beralun dan lampu belakang nipis. Namun, ciri lain seperti lampu depannya adalah mirip kepada sedan sport CLS.

Kelengkapan lain adalah roda AMG 21-inci, pakej AMG Aerodynamics, AMG Exterior Carbon-Fibre, AMG Exterior Night, AMG light display dan ekzos prestasi AMG.

Kabin

Binaan kabin adalah campuran AMG GT dan CLS; bahagian papan pemuka seperti CLS dan bahagian bawah menyerupai AMG GT. Tugas paparan maklumat digalas oleh Widescreen Cockpit yang merangkumi dua paparan HD 12.3-inci.

Tempat duduk GT 4-pintu ini adalah dari AMG Performance yang sporti dan suportif untuk pemanduan berprestasi. Kesemua tempat duduk depan dan belakang boleh dipilih dari tiga pilihan untuk sporti, keselesaan atau elegan. Balutan boleh dipilih sama ada kulit Nappa atau DINAMICA microfibre.

 

Konsol tengahnya mempunyai butang untuk kawalan logik transmisi, suspensi, ESP, sistem ekzos, fungsi start/stop, dan aerofoil belakang. Unit infotainment COMAND kini dikawal dengan touchpad rekaan terbaharu, dengan tombol gear bersegi menggantikan yang bulat pada GT 2-pintu.

Terdapat juga roda stereng AMG dengan butang Touch Control. Stereng sport ini mempunyai mod Comfort, Sport dan Sport+ yang bekerja bersama mod transmisi AMG Dynamic Select.

Penumpang belakang juga mendapat skrin sesentuh yang diintegrasikan di dalam konsol tengah (varian High Class sahaja). Skrin ini mempunyai akses untuk kawalan menu AMG, pencahayaan kabin, penghawa dingin dan pemanas tempat duduk.

Keselamatan dan bantuan

Ciri keselamatan pada AMG GT 63 S ini cukup lengkap, merangkumi kawalan jarak DISTRONIC, bantuan parkir aktif PARKTRONIC, AMG Track Pace, EASY-PACK, sistem penggera anti-pencuri, TIREFIT dan sistem pemantauan tekanan tayar.

AMG TRACK PACE

Fungsi ini ialah seperti jurutera perlumbaan maya yang manganalisis lebih 80 data kenderaan serta catatan masa di litar lumba. AMG TRACK PACE ini merupakan ciri tambahan dari infotainment COMAND Online.

Data dikumpul dari pecutan lateral dan longitudinal, pedal minyak, brek dan sudut roda stereng secara berterusan. Segala maklumat dipaparkan di paparan COMAND.

Dengan ini, catatan masa lebih pantas atau lebih perlahan dapati dikenalpasti dari selekoh-selekoh tertentu dan dipaparkan tanpa pemandu perlu mengalihkan perhatian dari litar.

Sudut drift juga boleh dikira dan dipaparkan. Fungsi lain TRACK PACE juga boleh digunakan untuk mendaftar masa pecutan 0 ke 100km/j dan prestasi membrek.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here