“Motor besar” dipanggil sebegitu bukan sahaja kerana ia berkapasiti besar, tetapi secara fizikal pun saiznya besar. Motosikal sebegini juga kadang-kadang tidak begitu mesra dengan saiz orang Asia. Ramai yang ingin membeli tetapi tidak mempunyai pilihan motosikal yang sesuai dan risaukan kaki mereka tidak mudah sampai ke tanah apabila berada di atas motosikal.
Untuk itu, kami senaraikan pilihan motosikal yang sesuai untuk saiz orang Asia. Kami ambil anggaran orang berketinggian 5’5” dan 5’7”. Jika anda lebih rendah, jangan risau kerana terdapat banyak kit merendahkan spring untuk motor-motor moden di luar sana.
Kriteria motosikal dalam senarai ini mestilah dijual di Malaysia, masih baharu, tempat duduk mudah diduduki, cukup ringan untuk ditampung dengan satu kaki dan cukup tirus untuk kaki mencecah tanah.
-
Honda CBR500R
CBR500R menampilkan enjin 471cc dua silinder sebaris yang cukup berkuasa bersama rupanya yang mengujakan. Posisi tunggangannya tidak terlalu agresif dan ia agak tirus di antara dua kaki. Tinggi tempat duduk 30.9-inci membuatkan CBR500R pilihan mudah untuk motosikal sport berposisi rendah.
-
Ducati Monster 797
Jangan mudah terpedaya dengan namanya, kerana tempat meletak kaki Ducati ini tidak “monster” langsung. Baby Monster ini mempuyai ketinggian tempat duduk 31.6-inci dan cukup tirus memudahkan penunggang bersaiz sederhana menjejakkan kaki ke tanah dengan satu kaki.
-
Yamaha MT-07
Motosikal sport naked middleweight dari Yamaha ini ialah wakil cukup baik dari siri MT. Ia mempunyai tork dan kuasa mencukupi, serta penggayaan yang selesa untuk penunggang bersaiz Asia dengan ketinggian tempat duduk 31.7-inci.
-
Honda Rebel 500
Cruiser 471cc ini mungkin motosikal paling selesa dalam senarai ini. Ia mempunyai ergonomik relaks, pusat gravity rendah, dan tempat duduk sangat rendah pada 27.2-inci. Penggayaan klasik dan prestasi mantap membuatkan Rebel satu pilihan baik untuk mereka yang mencari cruiser.
-
Harley-Davidson Street Rod 750
Harley-Davidson dikenali kerana bunyi dan saiznya, yang biasanya tidak begitu mudah digunakan untuk orang yang tidak berapa tinggi. Namun Harley juga dikenali kerana keselesaannya, tempat duduk yang rendah serta pusat graviti rendah.
Street Rod 750 mempunyai kualiti-kualiti ini, dengan bonus tambahan iaitu lebih lincah untuk tunggangan jalanraya.
-
BMW F750 GS
Merupakan adik kepada R1250 GS yang ikonik, F750 GS ini lebih ringan, lebih rendah dan lebih mudah dikendalikan. Tempat duduk 32-inci F750 ini sudah cukup rendah untuk motosikal kembara, tetapi apabila diberikan kit merendah suspensi, ketinggian tempat duduknya berada pada paras 30.3-inci sahaja.
-
Ducati Scrambler
Ducati Scrambler memberikan penunggang baharu dan tidak berapa tinggi suatu keyakinan dengan tempat duduk 31-inci dan ketirusan di antara dua kaki. Scrambler juga cukup mesra pengguna membuatkan ia menjadi pilihan untuk penunggang baharu dalam kursus Ducati Riding Experience.