Walaupun SUV dan crossover kian mendapat tempat di hati pembeli, Jazz (atau Fit di beberapa pasaran) masih mempunyai peminat setianya. Honda dijangka mengeluarkan Jazz serba baharu seawal hujung tahun ini. Imej prototaip Honda Jazz 2020 yang sedang diuji telah mula kelihatan dan menurut Carscoops, berikut adalah beberapa perkara yang kita boleh pastikan.
Imej baharu kekal berjiwa muda
Rekaan Jazz tidaklah akan radikal seperti Civic, namun ia tetap akan membawakan imej muda dan sporti. Bahagian depannya kelihatan lebih kemas dan agak comel.
Lampu depan besar adalah sebagai peringatan kepada Jazz generasi pertama. Gril serta kemasukan udara di bampar mendapat elemen melintang untuk memberikan persepsi lebar.
Kabin lebih luas
Honda memberi rekaan dua tona kepada rekaan kabin Jazz dengan corong pendingin hawa menegak dan skrin seperti tablet yang dipacak di tengah.
Terdapat juga Magic Seat yang membolehkan pengguna membuat pelbagai konfigurasi mengikut keperluan. Secara keseluruhan, ruang kabinnya juga dikatakan lebih luas.
Ciri keselamatan yang ditampilkan termasuklah Lane Keeping Aid, Adaptive Cruise Control dengan Stop and Go, dan Road Departure Mitigation. Namun, tidak pasti sama ada Jazz akan mendapat pakej Honda Sensing atau tidak.
Enjin lebih cekap
Pilihan enjin Jazz akan merangkumi 1.0-liter tiga silinder turbo, 1.5-liter hibrid dengan 151hp dan 1.5-liter diesel. Motoqar menjangkakan Malaysia akan mendapat pilihan dua enjin di atas kecuali diesel.
Ini juga adalah konsisten dengan City yang juga dikatakan akan mendapat varian 1.0-liter turbo.
Terdapat juga ura-ura mengatakan bahawa Honda sedang merancang satu varian elektrik (EV) sepenuhnya dengan kemampuan jarak 300km setiap caj.
Dijangkakan Jazz ini akan didedahkan secara rasmi pada Frankfurt Motor Show pada September ini atau di Tokyo Motor Show pada Oktober.