Proton Putra WRC? Spesies Proton apakah ini? Bukan Proton guna Satria Neo S2000 je ke untuk rali? Baiklah tuan-tuan dan puan-puan, Proton Putra WRC ini sebenarnya adalah projek yang lebih lama sebelum Satria Neo itu.
Ia adalah projek cita-cita Proton mahu dikenali di serata dunia dan mengukuhkan imej jenama, salah satu caranya adalah dengan menyertai sukan permotoran antarabangsa.
Di UK, Proton dan Petronas menggunakan Waja untuk kejohanan BTCC (British Touring Car Championship).
Berkenaan Putra ini pula, telah tular beberapa tahun lepas mengenai imej Putra dengan kit badan lebar dan agresif ini tersadai kaku di ibupejabat Proton di Shah Alam.
Kali ini kami jumpa pula imej Putra WRC ini dengan lebih menyeluruh dan terperinci. Baru kali ini kami dapat melihat gambaran ruang enjin, casis dan kabinnya.
Jadi, kami cungkil semula asal-usul Putra WRC ini.
Menurut rakan media kami di Mekanika yang memetik sumber dari Carthrottle, Putra WRC adalah hasil kerjasama Proton dengan pembina jentera rali tersohor, Prodrive.
Ya, ia firma yang sama yang mempunyai ikatan kerjasama dengan pasukan rali Subaru. Pihak Proton berjaya meyakinkan Prodrive untuk bekerjasama dengan mereka juga untuk projek Putra ini.
Lerai dan bina semula Putra
Prodrive telah meleraikan dan membina semula Putra berpandukan kriteria WRC. Hasilnya, enjin 4G93T 2.0-liter empat-silinder Mitsubishi disumbat menggantikan enjin asal 1.8-liter (yang juga enjin Mitsubishi). Kuasa pula ialah 300hp yang dihantar ke semua roda melalui transmisi sequential enam-kelajuan Hewland.
Kerangka diperkukuh dengan roll-cage penuh dan kemasan luar badan diberi pakej aerodinamik agar Putra WRC dapat mengekalkan kestabilan di kelajuan tinggi sambil membelah pelbagai permukaan mencabar rali.
Hud depan diubah agar dapat menyalurkan udara panas keluar dengan lebih berkesan dan bahagian belakang dikemaskan dengan spoiler besar.
Tayar Pirelli dipasangkan dengan rim OZ Racing bersaiz 18-inci, dan brek pula adalah dari AP Racing. Sememangnya komponen yang mencukupi untuk satu pasukan rali bercita-cita tinggi!
Proton henti projek Proton Putra WRC
Namun secara tiba-tiba, Proton menghentikan projek Putra WRC ini tanpa sebarang alasan. Semua rancangan WRC ditarik balik dan Putra WRC ini pun tidak sempat didedahkan kepada umum.
Walau apa pun alasan di sebalik penarikan diri itu, kami tetap berharap Proton dapat kembali dalam WRC atau mana-mana sukan permotoran bertaraf antarabangsa.
Dengan kerjasama rakan teknikal terkini Geely, pastinya Proton dapat bergabung dan menggunakan kepakaran masing-masing dalam mencapai cita-cita ini.
Sumber imej: Jays Speed Graphy