
Sejak pengambil-alihan Geely ke atas Proton, beberapa perubahan positif telah berlaku ke atas Proton seperti kualiti komponen dari vendor yang lebih baik serta harga model-model Proton yang kini lebih berdaya saing. Termasuk sentuhan Proton Ride & Handling untuk CKD.
Dalam perkembangan terkini, syarikat gergasi automotif China itu mula memberi perhatian dan mengambil-kira kepakaran Proton dalam talaan casis dan suspensi.
Dengan itu, Proton X70 versi CKD (pemasangan tempatan) yang akan dimulakan tidak lama lagi bakal menerima sentuhan Proton Ride & Handling.

Jurutera-jurutera dari Geely berpendapat bahawa gaya pemanduan di Malaysia berbeza dari di China maka X70 memerlukan talaan suspensi yang berbeza. Jadi mereka bersetuju untuk membenarkan jurutera Proton untuk mengaplikasikan kepakaran mereka di aspek ini.
Perkembangan sebegini amat dialu-alukan oleh rakyat Malaysia bukan sahaja kerana kepakaran kita diakui, tetapi juga kerana jurutera kita dapat memberikan penglibatan lebih besar dalam R&D (kajian dan pembangunan) model Proton.
Ini juga bermakna model-model Proton akan datang yang diambil dari Geely akan mempunyai lebih banyak keunikan tersendiri.