Pandu uji: Volvo S90 T5 – Matlamat sama, pendekatan berbeza

3305

Bila disebut jenama premium atau lebih khusus lagi sedan premium, dua atau tiga jenama Jerman akan hadir ke minda. BMW dan Mercedes dengan 5-Series dan E-Class mereka yang memang tersohor dan mempunyai sejarah yang kuat. Jika ada jenama lain yang mungkin dipetik pun, mungkin Audi. Tetapi kali ini Motoqar berpeluang pandu uji sebuah kereta Volvo S90 T5.

Kereta pandu uji - Volvo S90 T5
Kereta pandu uji – Volvo S90 T5

Bercakap mengenai Volvo, adakah anda tahu model Volvo yang setara dengan 5-Series, E-Class dan A6? Kami tidak akan menyalahkan anda jika anda tidak tahu. Bukan kerana penjenamaan dan kesedaran mengenai nama Volvo lemah, tetapi pemasaran BMW dan Mercedes itu sendiri yang begitu giat dijalankan.



Apa pun mutakhir ini, mereka yang mengikuti perkembangan dunia automotif akan perasan dengan nama Volvo yang kini semakin menyerlah. Design language atau bahasa rekaan terkini mereka dengan lampu depan “Thor’s hammer” menjadi identiti utama.

Volvo S90 merupakan siri terbesar dari jenama Sweden ini, dengan S90 sebagai sedan, V90 sebagai wagon dan XC90 sebagai SUV bersaiz penuh. Jadi, apa istimewanya Volvo S90 T5 ini berbanding pesaing-pesaingnya dari Jerman?

Luaran

Penggayaan Volvo S90 menampilkan rekaan kemas dan segak yang sangat minimalistik. Ia seperti konsep Scandinavian pada perabot Ikea yang anda biasa lihat.

Pandu uji Volvo S90 - depan kereta

Tiada garisan bercelaru atau berserabut yang tidak perlu. Hanya garisan lurus yang kemas. Namun pada masa yang sama, Volvo meletakkan lampu DRL LED “Thor’s Hammer” yang sangat cool dan gril besar yang mengambil inspirasi dari model Volvo era sebelum ini.

Kedua-dua elemen ini memainkan peranan penting dalam memberi identiti pada kereta ini dan menaikkan seri rekaannya.

Pandu uji Volvo S90 - belakang kereta

Lampu belakangnya nampak pelik jika anda lihat padanya begitu sahaja. Namun jika anda lihat dengan skop lebih besar, rekaan lampu belakang LED ini sangat segar dan padan dengan penampilan badan S90.

Secara keseluruhan, rekabentuk luaran S90 ini nampak unik dan tidak terlalu mencuba untuk menjadi sesiapa.

Volvo S90 T5 ini dilengkapi rim 19-inci 5-Triple Spoke Matt Tech Black Diamond Cut (panjang betul namanya!) dipadan dengan tayar 225/40/R19.

Dalaman

Konsep minimalistik dan kemas diteruskan di bahagian dalam kabin S90. Pembinaan papan pamuka Iron Ore Décor Inlay ini ringkas tetapi kemas dan premium.

Pandu uji Volvo S90 - Push start button

Butang-butang utama disusun kemas dan mempunyai rasa yang sedap apabila ditekan, manakala fungsi-fungsi lain yang lebih menyeluruh “disimpan” di dalam menu yang anda perlu akses melalui sistem Sensus Connect dengan skrin potret 9-inci di tengah.

Segala maklumat dipapar dengan grafik yang jelas dan senang dilihat, serta susun atur yang kemas seperti dalam telefon pintar anda.

Walaubagaimanapun, penulis rasakan fungsi pendingin hawa tidak begitu mudah digunakan apabila ia tersimpan di dalam menu di skrin. Pengguna perlu menekan beberapa arahan di skrin sesentuh untuk melaras suhu, arah atau kelajuan peniup udara.

Tempat duduk pemandu di barisan depan serta penumpang belakang sangat empuk dan selesa. Ia mungkin tidak mendapat kulit Nappa seperti varian T8, tetapi kulit pada T5 ini cukup mewah dan nampak berkualiti.

Kabin juga sangat luas, terutamanya di barisan tempat duduk belakang. Pemandu bersaiz Mat Salleh yang tinggi juga boleh duduk dan penumpang belakang masih ada ruang yang selesa. Tiada rungutan di aspek ini.

Dan dengan but bersaiz 500 liter, Volvo S90 sebuah kenderaan sempurna untuk eksekutif muda pergi out station atau untuk keluarga berekreasi di hujung minggu.

Pandu uji Volvo S90 – Enjin dan prestasi

Di bawah hud yang besar di depan itu ialah unit 2.0-liter Drive-E, enjin 4-silinder turbo yang cukup bermaya menghasilkan 254hp dan 350Nm tork. Segala output dihantar ke roda depan, sedikit berbeza dari pesaing-pesaing Jerman yang menggunakan konfigurasi RWD.

Pandu uji Volvo S90 – Enjin sangat senyap

Enjin ini sangat senyap, berkuasa dan dari segi penjimatan, sangat bergantung kepada anda pemandunya. Jika anda mahu ia jadi cekap, ia boleh jimat seperti Axia. Tetapi jika anda tidak berhati-hati dengan kaki kanan anda, ia boleh memecut dan “minum” bahan api seperti kereta sports.

Transmisi automatik 8-kelajuan yang dipadan dengan enjin ini adalah sejenis transmisi torque-converter yang sangat baik dan lancar. Ia membuatkan anda ragu-ragu tentang apa keperluan menggunakan automatik dwi-klac.

Pemanduan Volvo S90 sangat mudah dan ia tidak terasa begitu besar atau berat. Walaupun mempunyai berat lebih kurang 1.7 tan, cara enjinnya menghantar kuasa dan kecekapan transmisi membuatkan S90 rasa bersahaja untuk bergerak dan memecut.

Dari segi keseluruhan dinamik pemanduan, Volvo S90 lebih kepada sedan yang selesa dari sporti. Ia lebih mirip kepada Mercedes E 200 Avantgarde daripada BMW 530i M Sport. Malah ia lebih lembut dan selesa dari jangkaan penulis.

Semua lubang dan jalan tidak rata diserap baik oleh suspensi belakang yang unik iaitu multilink dengan leaf spring di tengah. Ia menunjukkan Volvo berfikir dengan cara sedikit berbeza untuk aspek dinamik pemanduan.

Kawalan badan yang baik

Suspensi depan jenis double wishbone pula memberi kawalan badan yang baik sama ada di jalan lurus atau di selekoh dan membantu badan yang besar dan berat itu mengikut “arahan” dari stereng.

Tayar Michelin Pilot Sport 4 pula sememangnya padan dan sangat membantu dalam memberikan cengkaman mekanikal yang tinggi dan pada masa yang sama, memberikan keyakinan semasa memandu di permukaan basah.

Tiada tombol untuk mod pemanduan yang boleh dikawal di konsol tengah seperti model-model T8, tetapi S90 T5 boleh dipandu dalam mod biasa atau ECO yang boleh diakses dari menu di skrin tengah. Ini juga menunjukkan sistem pada varian T5 lebih ringkas dan kurang kompleks berbanding T8.

Selain gaya yang kemas dan unik, sistem keselamatan merupakan antara ciri utama pada Volvo S90. Sebagai pengeluar yang telah mereka tali pinggang keledar yang kita gunakan hari ini sejak 1959, Volvo meletakkan segala ciri keselamatan pasif dan aktif termaju pada sedan ini.

Memastikan kenderaan dan penumpang selamat

Rujuk sahaja senarai ciri keselamatan utama yang kami letak di bahagian spesifikasi, segalanya direka untuk memastikan kenderaan dan penumpang selamat sampai ke destinasi.

Segala ciri keselamatan ini adalah di bawah pakej Intellisafe dengan tiga cabang iaitu Preventive Safety, Protective Safety dan Child Safety. Semua sistem ini tidak hanya bekerja semasa berlaku situasi kecemasan, malah sentiasa mengambil langkah proaktif untuk mengelak berlakunya kemalangan.

Radar dan kamera di bampar depan serta cermin depan sentiasa membaca dan mengumpul maklumat trafik sekeliling. Papan tanda dan amaran di jalanraya pun ia baca dan paparkan di papan pemuka.

Ya, banyak kereta lain juga mempunyai ciri keselamatan terkini dan canggih. Namun pada Volvo ini, anda dapat rasakan bahawa jurutera telah menjalankan ujian menyeluruh untuk memastikan semua sistem berfungsi secara lancar dan semulajadi, tidak terasa seperti dikawal robot.

Kata akhir dari pandu uji Volvo S90 T5

Berdasarkan pandu uji terhadap Volvo S90, ia merupakan salah satu contoh terbaik dan terkini pengeluar Sweden itu dalam menzahirkan bagaimana mereka berfikir dan pendekatan diambil untuk kenderaan mereka. Ia tetap mewah dan menyerlah, cuma dalam cara berbeza.

Badge - Kereta pandu uji Volvo S90

Jika anda mahukan sedan premium yang selesa, praktikal, cekap penggunaan bahan api, selamat dan bernampilan kemas tanpa perlu menunjuk-nunjuk, Volvo S90 calon sangat sesuai. Oh ya, di sebalik penampilan understated ini, tahukah anda S90 antara sedan paling berkuasa dalam kelasnya?

Kereta pandu uji Volvo S90 T5

Namun jika anda rasa dengan RM339k itu anda boleh dapatkan sedan Jerman yang lebih gah, tak apa, teruskan. Tetapi Volvo S90 ini memang tidak seperti sedan mewah “biasa” kerana orang pasti melihat dua-tiga kali jika anda memandu kereta ini. 

Spesifikasi Volvo S90 T5

Harga: RM338,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,969cc Drive-E, 4-silinder petrol, turbo
Kuasa maksima: 254 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 350 Nm @ 1,500-4,800 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan Geartronic
Sistem suspensi: Double wishbone (depan), integral link dengan leaf spring (belakang)
Berat: 1,716 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System, ISOFIX

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here