Pasukan Malaysia akan berentap di 24 Hours of LeMans

1800

24 Hours of LeMans ialah kemuncak perlumbaan ketahanan, dianggap sebagai tempat wajib dan terulung dalam sukan permotoran. Menang di sini dan nama anda akan terpahat dalam sejarah sebagai yang terhebat.

24 Hours of LeMans telah menjadi pentas pelbagai persaingan sengit, kemenangan dan kekalahan pahit, serta kemalangan yang meragut nyawa. Ia juga merupakan tempat dimana teknologi terkini dan bakat hebat ditujunkkan.



Dan untuk negara Malaysia yang kerdil, dapat berentap di pentas dunia ini pasti satu penghormatan besar. Ini membawakan kita kepada kisah Viper Niza Racing.

Pasukan itu dikatakan bakal menjadi pasukan Malaysia sepenuhnya yang pertama untuk berentap di LeMans. Namun di sini kita perlu tekankan bahawa mereka bukanlah berlumba di 24 Hours of LeMans yang bersejarah itu, tetapi dalam perlumbaan sokongan iaitu Road to LeMans. Ia perlumbaan pembuka tirai kepada perlumbaan ketahanan sebenar.

Viper Niza Racing akan bertanding dalam Road To LeMans hujung minggu ini dengan dua pemandu – Douglas Khoo dan Dominic Ang – dan akan menjadi pasukan Malaysia pertama dalam sejarah untuk berentap dalam perlumbaan itu.

Ya, beberapa pelumba Malaysia pernah berentap dalam 24 Hours of LeMans dan Road To LeMans, namun ini kali pertama seluruh pasukan dari mekanik dan pasukan video semuanya warga Malaysia.

Pemandu dan prinsipal pasukan, Douglas Khoo berkata, “Road To LeMans sememangnya salah satu perlumbaan paling berprestij dalam sukan ini. Ia mungkin tidak ikonik seperti acara utama, namun pesaing masih mampu berada dalam suasana dimana beribu-ribu penonton menyaksikan kereta kita, dan memberikan penampilan yang baik untuk penaja-penaja kami. Dalam kes ini, mereka ialah Motul.”

“Saya menjangkakan hujung minggu yang mencabar, Dominic dan saya jelas bahawa ia tidak akan menjadi mudah. Tetapi mekanik kami bersedia menyahut cabaran, dan jentera Ligier JS P3 LMP3 berenjin Nissan telah diuji sebaiknya. Kami selesa di belakang stereng kereta ini,” tambahnya.

Viper Niza Racing bukanlah baharu dalam perlumbaan bertaraf tinggi. Pasukan ini telah aktif bersaing dalam siri TCR Asia dan Asia LeMans Series. Mereka telah mengecapi beberapa podium dalam semua siri, dan membawa bersama pengalaman luas untuk menyertai Road To LeMans.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here