Porsche 718 Boxster Spyder serta 718 Cayman GT4 adalah jenis kedua dari kategori di atas. Ya, walaupun sudah dalam tahun 2019, Porsche masih memberikan resepi enjin NA dengan transmisi manual.
Jika kereta sports moden menggunakan enjin turbo dan transmisi dwi-klac super laju, kereta sports jenis “old skool” adalah yang menggunakan enjin NA (naturally-aspirated) yang mampu rev tinggi, serta padanan transmisi manual.
Boxster Spyder dan Cayman GT4 bukanlah nama baharu, kerana kedua-dua nama ini sudah ada sebelum ini, iaitu versi lightweight (ringan) dan lebih sporti berbanding model asas. Cuma untuk versi 2019 ini, kod nama 718 dimasukkan di tengah.
Porsche 718 Boxster Spyder dan 718 Cayman GT4 ini diberikan enjin 4.0-liter NA flat-six yang diletak di antara kabin dan gandar belakang. Enjin yang Porsche katakan baharu ini menjana 414hp dan 432Nm tork.
Enjin ini mampu rev sehingga 8,000 rpm dan diasaskan dari keluarga enjin 4.0-liter yang sama pada model 911 GT3 dan GT3 RS. Cuma 911 menerima talaan berbeza yang menjadikan output enjin ini sebanyak 500hp. Penulis harus katakan Porsche dengan enjin ini antara paling merdu pernah penulis dengar (dan pandu).
Transmisi untuk Boxster Spyder dan Cayman GT4 kali ini adalah manual sahaja, dengan enam nisbah gear. Terdapat fungsi auto-blip untuk menyempurnakan penukaran gear pemandu, namun bagi mereka yang lebih gemar heel-and-toe sendiri, fungsi ini boleh dipadam.
Kedua-dua model convertible dan coupe ini mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 4.2 saat. Tetapi kelajuan maksima adalah berbeza; 300km/j untuk Boxster Spyder dan 303km/j untuk Cayman GT4.
Suspensi kedua-dua kereta dipertingkat, dengan PASM sebagai standard. Ketinggian juga telah direndahkan sebanyak 1.18 inci dan terdapat pelarasan manual untuk tetapan ketinggian, camber, toe, dan bar anti-oleng.
Sama seperti sebelum ini, kedua-dua kereta meminjam komponen dari 911 GT3, iaitu suspensi dan brek depan. Selain brek besi 15-inci, terdapat juga Porsche Carbon Ceramic Brake untuk pilihan tambahan.
Rim adalah 20-inci depan dan belakang, dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245 depan dan 295 belakang.
Seperti biasa juga, bahagian dalam seperti papan pemuka, stereng dan tempat duduk dilengkapi kemasan Alcantara yang berjiwa motorsport, dengan tombol gear lebih pendek.
Anda tentukan sendiri rupa luaran Boxster Spyder dan Cayman GT4 ini. Bagi kami, kedua-duanya nampak kemas dan lebih dinamik dari versi biasa. Porsche telah bangunkan sistem ekzos sport baharu untuknya.
Model-model ini telah boleh ditempah dan penghantaran akan mula dibuat pada musim bunga tahun depan. Motoqar jangkakan yang Boxster Spyder dan Cayman GT4 ini akan tiba di Malaysia awal tahun depan.