PELABUHAN KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan prosedur pengeluaran Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) bagi pembinaan bas bermula 1 Julai depan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pelaksanaan PPP bermula di peringkat pembina badan bas dan setiap bas yang dibina serta didaftarkan selepas 1 Julai diwajibkan memiliki sijil perakuan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan terhadapnya akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan.
“Terdapat dua aspek utama yang ditekankan sebelum pengeluaran sijil PPP iaitu pembinaan struktur utama badan bus perlu mematuhi United Nation Regulation (UNR66) manakala pemasangan tempat duduk penumpang perlu mematuhi UNR80.
“Pelaksanaan pengeluaran sijil ini adalah tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 66 (1) (a), 66 (1) (d), 66 (1) (pp), 66 (1) (oo) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 9, 9A, 137 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Pelaksanaan) 1959,” katany di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum ini JPJ dan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) hanya menandatangani kelulusan bas baharu menerusi surat serta pelan bas yang diberikan oleh syarikat pembina bas.
JPJ
Katanya, dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan PPP, JPJ sebagai badan pemantau akan memastikan bus yang hendak membuat pemeriksaan awalan di Puspakom perlu mempunyai sijil perakuan itu.
“Penguatkuasaan PPP akan dilaksanakan pada 1 Januari 2020 dan ia perlu dipatuhi semua syarikat pembina bus tempatan.
“Sekiranya pembina bus dan jurutera profesional tidak mematuhi arahan ini, tindakan membatalkan pendaftaran syarikat serta jurutera profesional yang berdaftar dengan pihak JPJ akan dikenakan.
“Jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Shaharuddin berkata, 384 kemalangan membabitkan bus berlaku dalam tempoh 10 tahun iaitu dari 2009 hingga tahun ini. Maka JPJ berharap keselamatan penumpang lebih terjamin dengan penguatkuasaan PPP.
“Pada masa sama, ia juga sebagai usaha kerajaan ke arah mengamalkan pendekatan self certification dan self regulation dalam industri pembinaan bas,” katanya.
“Pendekatan itu juga mampu mengaplikasikan peraturan UN yang sudah dikuat kuasakan oleh pihak JPJ. Bersama industri pengeluar bus dalam memastikan bus yang dibina lebih diyakini tahap keselamatannya,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 66,228 bus berdaftar dan 61,734 bas dibina serta dipasang dalam negara, berbanding hanya 4,494 bas diimport.