Kami telah memandu uji Hyundai Tucson 1.6 Turbo beberapa bulan lepas, kami amat sukakannya. Anda boleh baca laporan pandu uji kami itu di sini. Tucson 1.6 Turbo itu walaupun nampak bersahaja, sebenarnya mempunyai powertrain paling sporti dalam kelasnya.
1.6-liter TGDI dengan 175hp dan 265Nm tork adalah enjin sama dari Elantra Sport, sangat-sangat mantap dan lancar. Ditambah pula dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Memang meleleh…
Namun kali ini kami diberi pula Tucson 2.0 Elegance. Jadi, bagaimana pula situasinya dalam segemn SUV segmen-C dan berapa jauh beza dengan Tucson 1.6 Turbo?
Sebenarnya walaupun Tucson 2.0 mempunyai sesaran enjin lebih besar, ia sebenarnya model asas yang duduk di bawah Tucson 1.6 Turbo. Enjin naturally-aspirated pada Tucson ini menghasilkan 155hp dan 192Nm tork “sahaja”.
Sama seperti Honda CR-V yang meletakkan model dengan enjin naturally-aspirated 2.4-liter i-VTEC sebagai model asas dan CR-V 1.5-liter Turbo VTEC sebagai model atas.
Luaran
Dari jauh, tidak begitu ketara perbezaan gaya luaran Hyundai Tucson 2.0 dengan 1.6 Turbo. Tetapi ciri kelengkapan jika diperincikan, agak banyak juga berbeza.
Kelengkapan standard adalah lampu kabus depan dan belakang, DRL LED, serta rim 17-inci dengan tayar 225/60.
Tucson 2.0 ini dilengkapi lampu depan projektor halogen, gril kemasan metalik, dan lampu belakang jenis mentol. Tucson 1.6 Turbo pula lebih “atas”, iaitu dengan lampu depan LED sepenuhnya dengan low beam assist, gril kemasan krom, lampu belakang LED, dan lampu lecak atau puddle lamps.
Penggayaan keseluruhan Tucson ini sebenarnya cukup cantik dengan rekabentuk seimbang di semua sudut. Tiada garis-garis pelik atau yang tidak disangka.
Dalaman
Di bahagian kabin, terdapat lebih banyak perbezaan antara Tucson 2.0 dengan Tucson 1.6. Sementara Tucson 2.0 menerima panel gentian karbon di papan pemuka dan skrin TFT 3.5-inci untuk paparan instrumen, Tucson 1.6 Turbo diberikan kemasan kulit di papan pemuka, dan skrin TFT lebih besar iaitu 4.2-inci.
Namun perbezaan paling ketara pada penulis ialah brek parkir jenis tangan yang perlu ditarik secara manual, serta ketiadaan butang penghidup enjin kenderaan. Ia membuatkan penulis terfikir sejenak, adakah ini benar-benar kereta yang dijual pada 2019.
Tiada masalah besar, kerana ada beberapa kenderaan (kereta sports biasanya) yang mendapat kelengkapan agak “manual”, tetapi Tucson 1.6 Turbo boleh pula diberikan brek parkir elektronik dan hadir dengan butang penghidup enjin.
Ya, faktor kos diambil kira dalam aspek ini untuk memberikan perbezaan antara varian, namun ada beberapa perkara seperti ini yang agak sukar diterima.
Mujur unit hiburan adalah sama, iaitu jenis floating dengan skrin sesentuh 7.0-inci. Unit ini amat penulis sukakan kerana ia tidak nampak terlalu aftermarket – nampak semulajadi dengan gaya keseluruhan papan pemuka.
Ia juga menyokong Apple CarPlay dan Android auto, serta mudah digunakan dan mempunyai paparan jelas serta berkualiti tinggi.
Kabin Hyundai Tucson ini cukup luas dan selesa, dengan tempat duduk kulit yang nampak premium diberikan secara standard. Permukaan-permukaan dalam kabin seperti panel pintu dan roda stereng juga kini nampak lebih halus dan berkualiti lebih baik berbanding Tucson pra-facelift sebelum ini.
Oh ya, tiada corong pendingin hawa di belakang sini, hanya pada Tucson 1.6 Turbo. Jadi ini mungkin menjadi salah satu faktor pembelian anda.
Enjin dan prestasi
Seperti pada namanya, Tucson 2.0 dijana enjin 2.0-liter, cukup dengan 155hp pada 6,200rpm dan 192Nm tork pada 4,000 rpm.
Enjin Nu MPi ini dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar depan.
Enjin pada Tucson ini cukup senyap walaupun ditekan hingga ke rev yang agak tinggi. Transmisinya pula sangat lancar dan mempunyai kalibrasi yang baik. Amat mudah untuk mengarahkan penukaran gear dengan menggunakan pedal minyak.
Semasa memecut dengan pedal minyak ditekan penuh, angkat sedikit pedal dan transmisi akan naik gear lebih awal. Begitu juga semasa pemanduan biasa, jika ditekan habis ke lantai, transmisi agak responsif memberikan gear yang betul untuk membantu pecutan.
Sebagai sebuah enjin naturally-aspirated, ia memang tidak mempunyai banyak tindak balas pada rpm rendah. Ia hanya “hidup” di rpm lebih tinggi.
Gaya pemanduan Hyundai Tucson 2.0 dari segi gerak badan dan pengendalian tidak berbeza dari Tucson 1.6 Turbo. Kedua-duanya selesa dan menyerap hentakan dari permukaan tidak rata dengan baik. Di selekoh dengan kelajuan tinggi, badan beroleng ke tepi sedikit namun “duduk” dengan elok untuk membantu tayar memberikan cengkaman.
Berbanding dengan SUV-SUV lain, penulis rasakan Tucson lebih solid kawalan badannya dari Honda CR-V, agak sama tahap dengan Proton X70 namun kurang berbanding Mazda CX-5 dan Volkswagen Tiguan.
Kata akhir
Hyundai Tucson ini mempunyai peningkatan sedikit berbanding versi pra-facelift sebelum ini, namun agak jauh kekurangan berbanding Tucson 1.6 Turbo. Ia mempunyai tahap praktikaliti dan penjimatan bahan api yang bagus, namun jujur penulis katakan, kelengkapannya terlalu asas.
Namun pada RM124k, Tucson ini harus dilihat jika anda berada dalam julat ini. Sesuai dengan jenama dan kredibilitinya, Hyundai Tucson memberikan alternatif untuk mereka yang tidak mahu kelihatan terlalu biasa dan sama seperti orang lain.
Tetapi jika anda mempunyai bajet lebih dan tidak kisah berbelanja RM250-RM300 lebih setiap bulan, Hyundai Tucson 1.6 Turbo itu lebih mantap dan mengujakan.
Spesifikasi Hyundai Tucson 2.0 Elegance
Harga: RM123,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,999 cc, 4-silinder Nu MPi
Kuasa maksima: 155 hp @ 6,200 rpm
Tork maksima: 192 Nm @ 4,800 rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Sistem suspensi: Topang McPherson (depan), Multi-link (belakang)
Sistem keselamatan: 2 beg udara, Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Stability Control (ESC), Hill-start Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC), Brake Assist System (BAS), Vehicle Stability Management (VSM).