Moto Guzzi V85 TT dilancarkan baru-baru ini di Janda baik, dan hadir di Malaysia dalam dua versi. V85 TT iaitu model asas berharga RM87,888 manakala versi Evocative Graphics pada RM89,888.
Moto Guzzi V85 TT menampilkan enjin tradisi V-twin yang biasa diguna pada Guzzi dan diperbaharui untuk kegunaan motosikal kembara lasak. Enjin 853cc ini menghasilkan 80hp pada 7,750rpm dan 80Nm tork pada 5,000rpm.
Kuasa ini dapat dicapai dengan penggunaan injap kemasukan titanium, aci sesondol 30 peratus lebih ringan dan pam minyak berkembar yang memberikan Guzzi ini lengkungan tork yang lebih rata. Dalam erti kata lain, penghataran kuasanya lebih linear dan bersahaja.
Maklumat tunggangan dipaparkan pada skrin LCD TFT berwarna. Tiga mod tunggangan boleh dipilih iaitu Road, Rain dan Off-Road yang mematikan fungsi ABS di roda belakang untuk memberikan lebih brek enjin.
Tinggi tempat duduk V85 TT ini ialah 830mm dan dengan kapasiti tangki bahan api 23-liter, V85 TT ini dianggarkan boleh ditunggang sejauh 400km.
Lima warna ditawarkan iaitu: Grigio Atacama, Blu Atlante, Rosso Vulcano, Giallo Sahara dan Rosso Kalahari. Untuk bilangan unit terhad, Moto Guzzi V85 TT ditawarkan dengan harga pengenalan RM79,888 (RM9,000 lebih rendah). Harga adalah tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.