Mercedes-Benz bakal mendapat ahli terbaharu dalam rangkaian EQ Power mereka, iaitu A 250e plug-in hybrid (PHEV).
Varian petrol-elektrik ini bakal memperoleh jarak pemanduan elektrik sejauh 60km dan kuasa yang mampu menyaingi A 250 biasa.
Berbanding A 250 AMG Line yang dijana enjin 2.0-liter turbo petrol, A 250e ini akan dikuasakan oleh enjin 1.33-liter (dari Renault) yang sama terdapat pada A 200. Enjin ini menghasilkan 158hp dan 250Nm tork.
Untuk menyaingi output enjin A 250, enjin A 250e akan disokong oleh motor elektrik (101hp dan 300Nm tork) yang bersambung dengan kotak gear.
Motor elektrik ini memperoleh kuasanya dari bateri lithium-ion 15kWh, iaitu lebih besar dari bateri seumpanya yang digunakan pada model-model PHEV BMW dan Volkswagen.
Dengan kapasiti bateri ini, A 250e mempunyai jarak lebih 60km untuk pemanduan EV.
Kotak gearnya juga baharu, iaitu automatik 8-kelajuan yang disahkan bakal digunakan pada model-model kompak Mercedes akan datang.
Disebabkan motor elektrik memakan ruang di bawah lantai but, Mercedes telah menjurutera semula A-Class ini bagi membolehkan bateri dipasang di bawah tempat duduk belakang.
Ini bermakna A 250e akan mempunyai kapasiti tangki bahan api lebih rendah, iaitu 35-liter berbading 45-liter pada model A-Class lain.
Perubahan lain adalah suspensi belakangnya yang ditala semula agar boleh menampung berat tambahan dari bateri lithium-ion, iaitu kira-kira 120kg.
Mercedes A 250e akan menyokong fungsi caj dari sumber DC sehingga 22kW dan bakal didedahkan di Frankfurt Motor Show pada September ini.