Pandu uji: Volvo XC40 T5 R-Design – SUV (dan kereta) dengan nilai terbaik?

3568

Kami telah memandu uji Volvo XC60 dan Volvo S90 sebelum ini dan kami rasakan kedua-dua model itu menawarkan pakej unik untuk segmen masing-masing. Jadi bagaimana dengan Volvo XC40 T5 R-Design?

Berbanding XC60 dan S90 yang bukan generasi pertama, Volvo XC40 T5 R-Design ialah model baharu yang diterbitkan dalam barisan jenama itu, dek kerana perkembangan dan permintaan untuk SUV bersaiz ini di pasaran global.



Menariknya, Volvo serta-merta berjaya dengan percubaan pertama ini kerana Volvo XC40 T5 R-Design telah dipilih sebagai pemenang World Car of the Year 2019, antara anugerah kereta paling berprestij di dunia.

Kami memandu uji XC40 baru-baru ini dalam varian T5 R-Design untuk pulang berhari Raya, dan penilaian ini bukanlah untuk mengkaji adakah ia wajar dipilih sebagai pemenang World Car of the Year, tetapi untuk menilai sejauh mana nilai yang ditawarkannya untuk pasaran Malaysia.

Luaran

Penulis bukanlah peminat tegar SUV dan jika mampu untuk upgrade dari kereta sekarang, mungkin hatchback atau wagon menjadi pilihan.

Tetapi penulis harus akui, Volvo XC40 ini mempunyai gaya luaran yang sangat kemas dan menawan. Dari mana sahaja sudut pandangan untuk XC40 ini baik dari depan, bucu, tepi atau belakang, semuanya mempunyai elemen menarik untuk diperhatikan.

Ia mempunyai saiz yang tidak terlalu besar atau terlalu kecil, ngam-ngam orang kata. Ia juga mempunyai gaya yang bersahaja tetapi tidak terlalu mencuba. Cukup segak.

Lampu LED dengan rekaan Thor’s hammer yang menjadi identiti Volvo bersama gril petak besar dengan kemasan hitam mendominasi muka depan XC40 ini.

Di belakang pula, aduh lampu LED ini boleh dikatakan paling cantik dan unik dalam segmen SUV premium kompak, terutamanya apabila menyala di waktu malam. Dengan garisan terkeluar sedikit di ‘bahu’, lampu ini memberikan satu kekuatan dan kekukuhan padanya.

Sebagai varian R-Design, jentera ini ini diberikan warna badan dua tona dan rim aloi 5-batang bersaiz 19-inci yang cukup bergaya dan padan dengan badan XC40 ini.

Pada pendapat penulis, XC40 perlu dipilih dengan pakej R-Design kerana warna dua tona dengan bumbung hitam menaikkan seri SUV ini, memberikannya gaya moden dan istimewa. Warna badan satu tona membuatkan XC40 nampak terlalu biasa dan kurang menarik bagi penulis.

Dalaman

Sekali imbas, bahagian dalaman XC40 ini sangat mirip dengan adik-beradik SUV lain yang lebih besar seperti XC60 dan XC90. Dari segi rekaan stereng, panel instrumen, papan pemuka, dan konsol tengah semuanya sama.

Tetapi walaupun XC40 ini model paling kecil Volvo sekarang, kabinnya langsung tidak terasa sempit. Tempat duduk depan terasa lapang dan mudah untuk melihat ke luar kenderaan.

Tambahan lagi yang paling penulis suka ialah sebahagian dari pembesar suara yang biasa berada di panel bawah pintu depan telah dialih ke atas berdekatan dengan tiang-A, memberikan ruang simpanan yang sangat besar di sini.

Ini menunjukkan betapa mendalamnya jurutera dan perekabentuk Volvo berfikir untuk memudahkan penggunaan kenderaan mereka. Mereka juga sebenarnya telah mengkaji bagaimana pengguna di bandar menggunakan SUV mereka dalam kehidupan seharian.

Dengan varian T5 R-Design, XC40 ini mendapat kemasan R-Design Cutting Edge Décor Inlay untuk papan pemukanya, pemijak tepi R-Design, karpet R-Design, tempat duduk balutan kulit nubuck R-Design, roda stereng R-Design, tombol gear R-Design dan pedal sports R-Design.

Dari segi kualiti, ia menggunakan bahan premium di hampir kesemua permukaan yang biasa disentuh. Segala butang-butang dan punat kawalan juga mempunyai rasa yang solid dan mantap apabila ditekan atau digunakan.

XC40 mendapat sistem pendingin hawa 2-zon Electronic Climate Control (ECC) dengan Clean Zone Air Quality System yang memastikan udara luar ditapis hingga bersih dan selamat sebelum masuk ke dalam kabin. Tetapi macam biasa, penulis tidak begitu gemar kawalan lazim seperti pendingin hawa yang perlu diakses di dalam menu pada skrin sesentuh.

Paparan pemandu ialah skrin 12.3-inci beresolusi tinggi dengan Intelligent Driver Information System (IDIS) yang mampu memaparkan pelbagai maklumat dengan grafik jelas dan lancar.

Unit multimedia di konsol tengah pula ialah perisian Sensus Connect yang dipaparkan melalui skrin sesentuh 9-inci. Sistem ini menyokong segala sambungan terkini seperti Bluetooh, Apple CarPlay, Android Auto, dan USB Type-C. Sistem audio 250W dengan lapan pembesar suara cukup merdu dan mempunyai kualiti bunyi yang sangat baik.

Tempat duduk belakang dikatakan agak menegak penyandarnya, tetapi bagi penulis ia baik-baik sahaja. Tetapi penulis hanya cuba duduk sekejap sahaja semasa kenderaan tidak bergerak. Mungkin pendapat ini berubah jika berpeluang duduk dalam pemanduan jauh. Kusyen pula agak empuk dan menyamai tahap keselesaan tempat duduk depan.

Cuma harus penulis akui pandangan ke luar dari baris belakang ini terasa agak terhad dengan rekaan tingkap yang menaik sebegitu. Namun penulis rasakan ia suatu kompromi yang berbaloi kerana – sekali lagi ingin dikatakan – XC40 mempunyai rekabentuk luaran yang sangat kemas.

Elemen pemikiran mendalam oleh jurutera dan pereka Volvo dibawa sehingga ke ruang but. Ya betul. Ruang butnya bukan sahaja luas, malah lantainya boleh diangkat dan dilipat, serta mempunyai beberapa konfigurasi praktikal.

Bila dilipat, terdapat penyangkut yang boleh anda gunakan untuk menyangkut barang-barang kecil yang anda beli di pasar tani pagi Ahad.

Enjin dan prestasi

Tidak seperti model lain dalam segmennya yang menggunakan pacuan roda depan, Volvo XC40 T5 menggunakan pacuan semua roda (AWD). Kuasa dari enjin Drive-E dihantar ke semua roda ini melalui transmisi automatik 8-kelajuan.

Enjin 2.0-liter turbonya menghasilkan 252hp dan 350Nm tork, memberikan pecutan dari pegun ke 100km/j dalam 6.4 saat dengan kelajuan maksima 230km/j.

Pemanduan

Secara jujur, penulis menjangkakan pemanduan Volvo XC40 T5 dengan pakej R-Design ini akan terasa keras dan sporti seperti Mercedes GLA. Ini kerana penulis pernah memandu Volvo V40 T5 R-Design dan ia seperti sebuah hot hatch dengan bunyi garau, rim besar dan spring biru cerah R-Design yang membuatkan pemandunya ingin sentiasa mencari selekoh.

Tetapi sangkaan penulis agak merosot dengan XC40 ini. Ia lebih “lembut” dan selesa dari yang dijangkakan. Namun bila difikirkan semula pendekatan dan hala tuju Volvo hari ini, segala apa yang dirasa pada XC40 ini mula terasa masuk akal.

XC40 disasarkan kepada pengguna harian yang mahukan praktikaliti, kekemasan, kecekapan dan paling penting, keselamatan. Ia sangat efektif dan mencapai semua aspek ini dengan baik. Pakej R-Design walapun lebih kepada kosmetik, memberi kelainan positif di luar dan dalam kenderaan.

Walaupun XC40 adalah paling kecil berbanding SUV XC60 dan XC90, dan dikuasai enjin 2.0-liter Drive-E yang sama, ini menjadikannya sangat lincah dan bertenaga. Malah ia antara SUV terpantas dalam segmennya.

Tetapi Volvo menala enjin dan transmisi XC40 dengan sangat baik, memberikan pemanduan lancar dalam semua keadaan, kecuali anda mahukannya melompat menerkam selekoh di depan.

XC40 ini sebenarnya adalah antara kenderaan yang anda tidak perlu pandu laju untuk menikmati segala kualiti dan nikmat pemanduan yang ditawarkannya. Berbanding kereta seperti Lotus Exige atau malah Volkswagen Passat yang perlu dipandu sedikit laju untuk merasa kelebihannya, Volvo XC40 ini terasa premium dan ada penghalusan walaupun dipandu santai.

Apabila anda pulang dari kerja setelah penat seharian, XC40 bukan akan lebih memenatkan anda, tetapi ia seolah-olah mampu memberi terapi yang merelakskan anda sebelum sampai ke rumah. Ini jugalah penyebab penulis tidak penat memandu XC40 kehulu-hilir semasa beraya, hanya mengantuk sebab terlalu banyak makan ketupat dan lemang.

Sistem keselamatan pada XC40 menunjukkan kemampuan dan kematangan Volvo dalam bab ini, khususnya pemanduan autonomi. Segala fungsi di bawah Intellisafe Preventive Safety memastikan pemandu dan penumpang rasa selamat dan mengurangkan beban kepada pemandu.

Ia juga tidak terasa begitu robotik dan kaku segala operasinya – sebagai contoh Adaptive Cruise Control dan Lane Keeping Aid – tetapi ia ibarat manusia sendiri yang mengawalnya. Lembut dan lancar.

Pemanduan pada 120km/j dalam hujan renyai dengan fungsi Lane Keeping Aid dan Adaptive Cruise Control diaktifkan.

Dari segi kecekapan penggunaan bahan api, penulis dengan mudah memperoleh 500km dari tangki 50 liter, iaitu purata 10km/liter secara kasar. Ini termasuklah meluncur 140km/j berterusan di lebuhraya. Angka ini pasti lebih baik jika benar-benar ingin menguji jarak paling jauh boleh dicapai.

Pada kelajuan 110km/j, bacaan komputer mencatatkan 7.1 liter/100km atau 14.km/liter dengan rpm di bawah 2,000 pada gear ke-8. Harus diambil kira juga XC40 ini seberat lebih 1,700kg dan menggunakan pacuan semua roda (AWD).

Kata akhir

Pesaing-pesaing XC40 mungkin mempunyai harga jualan lebih rendah, sebagai contoh BMW X1 pada RM220k dan Mercedes GLA pada RM245k, tetapi dengan segala ciri dan kelebihan yang ditawarkan, penulis harus katakan Volvo XC40 pada RM256k mempunyai nilai harga lebih baik.

Fungsi-fungsi keselamatan pada XC40 merupakan kelebihan buatnya berbanding model lain, dan ia memang agak jauh ke depan.

Tidak banyak kereta yang penulis rasa keberatan untuk pulangkan selepas pandu uji, tetapi Volvo XC40 ini salah satu daripadanya.

 

Spesifikasi Volvo XC40 T5 R-Design

Harga: RM255,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,969cc Drive-E, 4-silinder petrol, turbo
Kuasa maksima: 252 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 350 Nm @ 1,800-4,800 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan Geartronic
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Berat: 1,704 kg
Sistem keselamatan: 7 beg udara, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System, ISOFIX

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here