Proton R3 mendominasi Pusingan 3 Malaysia Championship Series (MCS) 2019 dengan kemenangan berganda, termasuk menyapu bersih podium dengan tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam Race 2.
Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu, pasukan itu sekali lagi menunjukkan siapa dominan dalam kelas M-Production itu.
Pada awalnya di pusingan kelayakan, Proton Suprima S yang dipandu Mitchell Cheah mendapat petak pertama, tetapi rakan sepasukannya Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali dengan Proton Iriz dan James Veerapan dengan Proton Saga masing-masing di tempat ke-4 dan ke-5.
Mitchell mendahului perlumbaan Race 1 dan muncul juara tetapi dua lagi kereta menamatkan perlumbaan di petak mereka bermula, iaitu ke-4 dan ke-5.
Walaubagaimanapun di Race 2 pada hari Ahad, ketiga-tiga jentera R3 terus meluru ke depan sebaik lampu hijau dipadamkan.
Mereka terus menamatkan perlumbaan di tempat pertama, ke-2 dan ke-3. Tetapi Iriz yang dipandu Fariqe dan Syafiq yang mendapat tempat pertama untuk kali ini, diikuti Proton Suprima S dan Proton Saga.
Ini merupakan kali pertama Proton R3 memperoleh kemenangan 1-2-3.