Demi minat atau orang putih panggil passion, pelbagai benda sanggup dilakukan oleh seseorang. Ini termasuklah pelaburan besar terutamanya dari segi masa dan wang ringgit.
Untuk peminat automotif pula, sudah tentu pelbagai cabang diceburi mereka seperti custom kereta, modify hingga mencapai beratus-ratus kuasa kuda, menyertai track day dan pemanduan konvoi.
Bagi empat sahabat ini iaitu Mohd Shahrizan (Shah), Muhammad Saphik (Saphik), Zarith Zaidani (Boy Zarith) dan Yu Chi, minat terhadap jentera Honda menyatukan mereka dan memberi inspirasi untuk Road To Bangkok 2K19.
Misi ke Thailand, The Land of Smiles itu mempunyai beberapa objektif, iaitu menghadiri Bangkok International Auto Salon 2019 (BIAS2019) serta Honda BKK, mengadakan sesi fotografi bersama jurufoto terkenal Street Metal, dan melawat pusat “kecantikan kereta” 3000G Car Detailing.
Oh ya, dah alang-alang ke sana yang terkenal dengan syurga barang kereta, mestilah shopping barang sekali kan.
Perjalanan ini bermula dari Johor Bahru untuk 2 kereta pada 1 Julai, dan mereka bertemu di Kuala Lumpur sebelum kesemua 4 kereta berkonvoi ke Bangkok. Jumlah jarak dari JB ke Bangkok ialah kira-kira 1,800km.
Empat kereta Honda ini adalah Jazz GK (Shah), CR-Z (Boy Zarith), Civic FC (Saphik dan rakannya Pa Iz) dan City (Yu Chi).
Mereka tiba di Bangkok, Thailand pada 2 Julai untuk acara pembukaan BIAS2019.
Alhamdulillah perjalanan mereka berjalan lancar dan tiada masalah.
Dan jika anda tertanya-tanya kos petrol untuk konvoi ini, secara purata ialah RM830 dibelanjakan untuk pergi dan balik. Ini kerana – seperti yang anda tahu – petrol di Thailand lebih mahal dari di Malaysia.
Terima kasih diucapkan kepada penaja utama Road To Bangkok 2K19 ialah Mr Auto Spa Detailing, Kg Baginda diikuti penaja kedua, Zalpro Autoparts.
Tidak dilupakan juga penaja barang; Mr Carbon, SDGR, KM Auto Haus, MS Proshop dan Pinos Ismail yang turut sama membantu menjayakan misi ini.
Jemput lihat galeri-galeri di bawah, hasil bidikan kamera oleh Adam Photography dan Shah Bahulu.