Syed Saddiq mahu Hafizh bersama pasukan negara

1960

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan bakat dimiliki Hafizh Syahrin Abdullah seharusnya ‘tidak dibazirkan’ apatah lagi pelumba berusia 25 tahun itu adalah ikon baharu sukan permotoran era moden negara. 

Secara peribadi Syed Saddiq melihat pelumba Red Bull KTM Tech3 yang tidak disambung kontraknya bersama pasukan MotoGP itu musim depan, masih mempunyai aura tersendiri dan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan PETRONAS, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan juga Hafizh dalam tempoh terdekat. Syed Saddiq

Tidak lain, pertemuan itu pastinya bagi membincangkan masa depan Hafizh yang pada masa ini masih belum diketahui hala tuju di saat spekulasi terus bertiup kencang mengenai dirinya akan turun semula ke kancah Moto2, musim depan. 



“Saya sudah berhubung dengan SIC, khususnya (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) Datuk Razlan (Razali). Kami sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan Hafizh juga saya sudah hubungi menerusi (aplikasi) WhatsApp

“Saya dimaklumkan pada akhir bulan ini, akan ada pertemuan antara saya, Hafizh, pihak PETRONAS dan SIC untuk membincangkan masa depannya kerana pendirian saya, saya nak pastikan dia ada dalam pasukan Malaysia itu sendiri. 

“Tahun lalu kita sudah lakukan perkara bersejarah yang mana PETRONAS, Yamaha dan SIC mewujudkan sebuah pasukan kita sendiri, milik Malaysia. Sekarang ini, peluang untuk memasukkan Hafizh itu ada dan saya harap peluang ini tidak dibazirkan. 

“Bagaimanapun, saya tidak boleh buat keputusan itu berseorangan, perlu berbincang bersama penaja paling besar iaitu PETRONAS dan juga pasukan bagaimana hendak memasukkan Hafizh berlumba untuk negara,” kata Syed Syaddiq kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Syed Saddiq

Hafizh membuat penampilan pertama dalam kelas perdana MotoGP tahun lalu bersama Tech3. Dan menamatkan saingan musim di tempat ke-16 dengan 46 mata yang pada ketika itu masih menggunakan jentera Yamaha. 

Hafizh Syahrin Abdullah

Bagaimanapun prestasi Hafizh tidak konsisten pada separuh musim pertama ini selepas pasukan bertukar kepada jentera KTM. Menyaksikan dirinya baru dua kali menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata iaitu di GP Perancis dan GP Belanda. Tatkala saingan masih berbaki 10 pusingan. 

Biarpun begitu, ia bukan satu alasan untuk menyatakan Hafizh sudah hilang ‘sengat’ tatkala pelumba itu pernah meraih penamat podium ketika menyertai pasukan tajaan syarikat petroleum negara iaitu PETRONAS Raceline Malaysia di sepanjang empat tahun penuh kariernya di saingan Moto2 (2014 hingga 2017). 

“Dia seorang yang hebat. Memang seseorang atlet itu akan ada detik naik turunnya. Namun dia sudah membuktikan dirinya sebagai seorang tokoh, ikon sukan permotoran. Untuk memasuki (kelas) MotoGP bukan mudah dan untuk berjaya di tahap beliau sekarang… lagilah sukar. 

“Dia bukan saja ikon kepada sukan permotoran tetapi juga individu di luar yang mana sekiranya berusaha sebaik mungkin, mereka boleh berjaya seperti Hafizh Syahrin. Kita tak boleh bazirkan peluang ini. Dia ikon, hero negara dan perlu dibantu sebaik mungkin,” kata Syed Saddiq.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here