Michelin telah memperkenalkan tayar Pilot Sport 4 SUV hari ini, yang direka khas untuk SUV premium berprestasi tinggi.
Kenderaan dimaksudkan adalah seperti Audi Q5, Audi Q7, BMW X4, Porsche Macan, Porsche Cayenne, Maserati Levanti dan Range Rover Sport.
Tayar ini dibangunkan untuk memberikan ketahanan, prestasi brek yang baik, pengendalian responsif dan pemanduan selesa.
Sebagai salah satu pelopor dalam teknologi kompaun (bahan) tayar, Michelin memberikan resepi istimewa untuk PS4 SUV ini.
Tayar ini menampilkan elastomer inovatif dan silika nipis untuk memperoleh pengendalian terbaik di permukaan basah.
Ini dibuktikan melalui ujian luaran yang dijalankan oleh TUV SUD menggunakan Audi Q5 di Jerman.
Michelin ini mencatat sehingga 5.06 saat lebih pantas di trek basah sepanjang 1km berbanding pesaingnya yang lain. Ia juga merekodkan jarak brek di permukaan kering sehingga 2.7 meter lebih pendek dari pesaingnya.
Selain itu, tayar Michelin Pilot Sport 4 SUV baharu ini mendapat corak asimetrikal yang mengukuhkan blok-blok tayr untuk keupayaan membelok yang dinamik.
Terdapat juga lingkaran hibrid yang diperbuat dari aramid dan nylon yang direka untuk ketepatan stereng.
Dari segi ketahanan, tayar Michelin ini dikatakan mampu menawarkan jangka hayat sehingga 13,000km lebih lama berbanding pesaingnya. Ini berdasarkan ujian dilakukan oleh Dekra Test Centre.
Tayar ini dijual bermula pada RM700 seunit untuk saiz 17 inci, dan terdapat dalam pelbagai saiz sehingga 23 inci. Ia boleh didapati di cawangan TYREPLUS dan semua wakil sah Michelin seluruh negara.