Proton Saga: Adakah ia masih relevan?

3770

Proton baru sahaja melancarkan Saga 2019 baru-baru ini, yang merupakan model naiktaraf (facelift) dari Saga yang diperkenalkan pada 2016.

Proton Saga 2016

Saga 2016 itu juga merupakan model yang dirombak secara besar-besaran dari Saga BLM yang dibawa ke pasaran pada 2008. Jadi ia bukan serba baharu, tetapi bukan juga sekadar facelift.



Apa pun, Proton Saga 2019 tetap menawarkan pakej menarik, antara yang utama ialah penggayaan yang diubah untuk menjadikan ia lebih terkini dan selari dengan model Proton lain, transmisi baharu, serta nilai untuk wang. Nilai ini penting kerana ia sebuah kereta yang dekat dengan rakyat Malaysia.

Jadi ini hampir menjawab persoalan di tajuk; adakah ia masih relevan?

Sebenarnya untuk menjawab persoalan itu, kita perlu bincangkan tentang generasi sesuatu nama kenderaan.

Generasi-generasi Honda Civic. Imej: Motor1.com

Sebagai contoh Honda Civic, Toyota Corolla, Volkswagen Golf dan Porsche 911, kesemua ini mempunyai persamaan. Anda sudah nampak?

Generasi Porsche 911

Ya, model-model di atas sudah berusia puluhan tahun dengan generasi pertama diperkenalkan lebih dari 40 tahun lepas. Ia menjadi warisan yang dibanggakan oleh pengeluarnya, malah turut dibanggakan oleh rakyat negara asal kereta itu.

Kesemua model ini juga masih mengekalkan resepi dan falsafah yang sama, cuma setiap generasi ia semakin canggih dan berteknologi untuk mengikut arus peredaran masa.

Untuk Saga, mungkin hanya beberapa generasi sahaja telah dihasilkan setakat ini, tetapi usia 34 tahun itu suatu pencapaian yang boleh dibanggakan. Empat juta (4,000,000) unit Proton telah terjual sejak 1985, dan separuh dari itu adalah Saga.

Saga pertama yang dikeluarkan pada 1985 sememangnya mencipta fenomena bagi rakyat Malaysia pada masa itu. Siapa yang memandu Saga pertama di dalam kampung atau taman perumahan, dia pasti akan jadi bualan masyarakat setempat.

Saga pertama ini juga pernah dieksport ke luar negara! Ia telah sampai ke negara Eropah seperti United Kingdom. Malah, pernah ditampilkan dalam salah satu episod Mr. Bean. Siapa masih ingat?

Dan baru-baru ini juga, seorang YouTuber Mat Salleh, HubNut membeli Proton Saga Aeroback terpakai dan gembira dengannya.

Negara lain yang pernah menerima kehadiran Saga termasuklah Australia, Thailand, Mesir, Jerman, Turki dan Syria.

Proton Saga dalam Power Rangers!

Paling menarik, kami pernah terjumpa satu siaran di Facebook rakan kami mengatakan Proton Saga tidak sengaja muncul dalam salah satu episod Power Rangers! Malangnya video itu kini tiada lagi di YouTube.

Adakah Saga moden juga mencipta fenomena sama? Mungkin situasinya berbeza dengan zaman internet dan telefon pintar kini.

Walaubagaimanapun ia tetap menjadi topik hangat di laman media sosial, forum, ruangan komen, dan menjadi carian popular di Youtube.

Perkara ini juga dizahirkan dalam bentuk angka jualan. Jika dilihat pada Proton Saga yang lebih baru, model 2016 contohnya, ia menyumbang kepada 24,061 unit jualan Proton sehingga Oktober tahun 2017, iaitu 42.7 peratus dari jumlah keseluruhan.

Hampir separuh adalah Saga, walaupun pada 2016 Proton turut melancarkan Perdana, Ertiga dan Persona baharu. Begitulah besarnya impak Proton Saga.

Dan sejak 2016 itu juga Saga telah bersaing dengan model dari Perodua, iaitu Bezza, yang juga dikeluarkan pada 2016. Hanya beberapa bulan sahaja membezakan pelancaran kedua-dua model ini.

Disebabkan Persona menggunakan enjin 1.6 Campro VVT dan diberikan lebih kelengkapan, Saga pula yang menggunakan enjin 1.3 Campro VVT dengan kelengkapan yang mesra poket, maka itu membolehkan ia mendapat harga berdaya saing.

Dan walaupun Saga serta Bezza mempunyai kumpulan pembeli dan peminat masing-masing, menurut pemerhatian penulis, kedua-dua model mempunyai kelebihan tersendiri.

Saga dilihat lebih sesuai untuk kenderaan perjalanan jauh dan lebih senyap. Bezza pula lebih digemari untuk pemanduan bandar kerana penjimatan bahan apinya. Tetapi Bezza mempunyai kapasiti muatan terbesar.

Walau apa pun, perjalanan Proton Saga cukup menarik untuk diperhatikan. Untuk 2019, Proton memberikan naik taraf yang agak signifikan kepada Saga, terutamanya pada varian Premium. Ia satu-satunya kenderaan dengan harga bawah RM40k yang dilengkapi Electronic Stability Control (ESC) dan Traction Control (TCS).

Dengan penambahan diberi tetapi pada harga yang lebih rendah berbanding sebelum ini, Proton Saga membawa nilai untuk wang yang cukup baik. Ia sejajar dengan falsafah Saga itu sendiri sebagai kereta rakyat.

Dan kami yakin, ia akan tetap relevan bukan sahaja kerana nilai yang ditawarkan, tetapi juga nama dan warisan yang dibawa oleh Proton Saga itu.

Moga ia akan terus menjadi model ikonik Proton dan membentuk satu generasi kukuh yang boleh dibanggakan lagi oleh Proton dan rakyat Malaysia.

Adakah ia masih relevan? Anda cuba dulu tanya soalan sama untuk model Honda Civic dan Porsche 911.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here