Dengan pelancaran Proton Saga 2019 ini, kami ingin bawakan topik seterusnya iaitu penyelenggaraan. Berapakah kosnya? Cukup mampu-milik? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan pesaing rapatnya, iaitu Perodua Bezza?
Varian Saga yang dibandingkan ialah Premium 1.3 AT, dan untuk Bezza, kami pilih model 1.3 Premium AT. Jadi, kedua-dua kereta adalah berkapasiti enjin 1.3-liter, menggunakan transmisi automatik dan berharga lebih kurang RM40k.
Untuk bab penyelenggaraan ini, kami akan bandingkan jumlah kos selepas 5 tahun atau 100,000km. Kos servis dan harga alat ganti dirujuk dari laman web setiap pengeluar, dan kos serta harga ini boleh berubah pada bila-bila masa.
Kami akan bandingkan juga jenis serta harga komponen yang digunakan untuk setiap kereta.
Jumlah kos penyelenggaraan Proton Saga selepas 5 tahun atau 100,000km ialah RM3,0002.42. Kos penyelenggaraan Perodua Bezza pula ialah RM4,007.39 untuk tempoh sama.
Minyak enjin
Minyak enjin Proton Saga berharga RM104.83 dan penapis minyak RM13, perlu ditukar setiap 10,000km. Minyak enjin Perodua Bezza pula berharga RM162 dan penapis minyak RM11.90, juga ditukar setiap 10,000km.
Minyak enjin Bezza lebih mahal dari Saga kerana Bezza menggunakan minyak jenis sintetik sepenuhnya, manakala Saga jenis semi sintetik.
Minyak transmisi
Untuk minyak auto atau minyak transmisi, harganya adalah RM216.80 untuk Saga dan RM80.64 untuk Bezza.
Walaupun minyak automatik Saga lebih mahal, ia perlu ditukar pada 60,000km, jadinya hanya sekali sepanjang tempoh 5 tahun.
Minyak automatik Bezza perlu ditukar setiap 40,000km, jadi perlu ditukar dua kali sepanjang 5 tahun.
Servis major
Apabila tiba masa untuk servis major, rata-rata pengguna akan sedikit risau kerana ia biasanya menelan belanja besar. Tapi ini perkara biasalah jika memiliki kereta, bukan?
Servis major Saga dilakukan pada 60,000km, manakala Bezza pada 40,000km. Ini bermakna hanya sekali untuk Saga sepanjang 5 tahun, Bezza pula perlu melaluinya dua kali.
Servis major Proton Saga berharga RM626.72. Selain minyak enjin, gasket dan penapis minyak, komponen tambahan yang ditukar semasa major servis adalah palam pencucuh, penapis bahan api, minyak automatik, drain plug dan gasket transmisi. Upah adalah RM156.
Servis major seterusnya untuk Saga pada RM120,000 adalah lebih mahal sedikit, iaitu RM724.
Untuk Perodua Bezza pula, servis majornya lebih murah iaitu pada RM545.70. Komponen tambahan termasuklah palam pencucuh, penapis bahan api, minyak automatik, gasket transmisi, cecair penyejuk dan minyak brek. Upah ialah RM126.80.
Palam pencucuh
Palam pencucuh Proton Saga berharga RM51 untuk satu set, dan ditukar setiap RM30,000. Ia lebih murah kerana jenis biasa.
Palam pencucuh Perodua Bezza berharga RM220.40 setiap set kerana ianya jenis Iridium. Ia mampu bertahaun jauh lebih lama dari palam pencucuh Saga, namun Perodua menyarankan untuk menukarnya setiap 50,000km.
Tali sawat
Enjin Proton menggunakan tali sawat dan untuk Saga ini, ia berharga RM334.68. Namun hanya perlu ditukar pada 110,000km, jadi ianya tidak termasuk dalam tempoh 5 tahun yang kita jumlahkan di atas tadi.
Perodua Bezza pula tidak memerlukan penukaran ini kerana enjinnya menggunakan rantai pemasaan (timing chain).
Untuk komponen wear and tear seperti tayar, pelapik brek dan bateri, semua ini mempunyai jangka hayat berbeza mengikut cara penggunaan. Harganya juga berbeza mengikut jenis dan kereta tidak terikat untuk menggunakan satu jenis sahaja.