MotoGP: Rins kecewakan Marquez juarai GP British

1160

Pelumba Suzuki, Alex Rins memenangi Grand Prix (GP) British penuh dramatik yang menyaksikan pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez hanya dipisahkan 0.013 saat dengannya di garisan penamat, hari ini.

Kemenangan sensasi Rins di Litar Silverstone menghadiahkan Suzuki kemenangan kedua musim ini, tetapi jaguh Honda, Marquez terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 78 mata di depan pencabar terdekatnya, Andrea Dovizioso dari Ducati.



Dovizioso tidak menamatkan perlumbaan selepas terbabit dengan kemalangan ngeri pada pusingan pertama bersama pelumba muda PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo dengan penunggang Yamaha, Maverick Vinales melengkapkan kedudukan podium.

“Sukar dipercayai. Saya tiada kata-kata untuk menjelaskannya. VAMOS! (Ayuh),” kata Rins mengulas kemenangan yang diraihnya di selekoh terakhir perlumbaan.

“Saya kekal tenang. Selekoh terakhir bagi saya sukar dipercayai. Saya lebih pantas berbandingnya dan akhirnya kami memperoleh kemenangan.”

Marquez mengakui kecewa dengan kekalahan kepada Rins tetapi lega harapannya untuk mengekalkan kejuaraan dunia terus meningkat.

“Sudah tentu saya gembira dengan kejuaraan, mengenai perlumbaan, tidak. Tewas di laluan lurus bukan perasaan yang menyenangkan.”

Kedudukan naib juara menyaksikan Marquez kini mengumpul 250 mata berbaki tujuh pusingan perlumbaan dengan pencabar terdekatnya, Dovizioso kekal dengan 172 mata.

Rins dalam pada itu mendaki ke tangga ketiga dengan 149, kelebihan empat mata di depan seorang lagi pelumba Ducati, Danilo Petrucci yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Rakan sepasukan Vinales, Valentino Rossi yang memulakan perlumbaan di petak kedua menamatkan perlumbaan di tangga keempat.

Perlumbaan berlangsung sengit tetapi insiden ngeri yang membabitkan Quartararo dan Dovizioso jelas mencuri tumpuan.

Selepas Quartararo hilang kawalan dan terjatuh, Dovizioso gagal mengelak yang menyaksikan jenteranya merempuh penghadang dan terbakar. Kedua-dua pelumba tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi Dovizioso dikejarkan ke hospital kerana pengsan ketika kemalangan.

Sementara itu, pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan di kedudukan ke-13 bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here