Mercedes-AMG GLB 35 ialah SUV kompak berkuasa dengan 7-tempat duduk

2437

Rangkaian kereta kompak menjadi antara bahagian terpenting Mercedes GLB hari ini kerana ia menarik pembeli muda dan pembeli kali pertama.

Dengan A-Class, B-Class, CLA dan GLA yang berada dalam kategori itu, Mercedes nampaknya masih mampu menyelitkan Mercedes-AMG GLB serba baharu. SUV kompak ini akan ditawarkan dalam versi 5- dan 7-tempat duduk dan disebabkan ia kini mempunyai tiga baris tempat duduk, GLB ini telah ‘membesar’ sedikit. Ia kini 100mm lebih panjang dari B-Class.



Walaupun Mercedes-Benz GLB 250 menghasilkan 221hp yang boleh tahan kuasanya, AMG 35 pula ditingkatkan lagi oomph dengan lebih kuasa, kelengkapan dan kebolehan off-road. Enjin 2.0-liter turbo itu kini menghasilkan 306hp dan 400Nm, hasil tambahan turbo twin-scroll dan lebih boost.

Ia menyalurkan kuasa itu melalui transmisi dw-klac 8-kelajuan dan ke semua roda menggunakan sistem 4MATIC. Ini membolehkan GLB 35 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j (dihadkan secara elektronik).

AMG ‘membuang’ mod pemanduan Eco dan Sport pada GLB biasa dan menggantikannya dengan satu set mod pemanduan baharu; Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

Suspensi juga menerima sedikit penalaan, dengan komponen stereng dan lengan kawalan di bahagian depan ditambahbaik. Terdapat juga stereng yang mengikut kelajuan dan brek AMG empat-omboh, kedua-duanya untuk kelincahan dan kuasa memberhenti yang lebih baik.

 

Luaran kereta ini mendapat banyak kemasan AMG, merangkumi muka depan yang lebih agresif, gril Panamericana AMG dan rim aloi AMG 19-inci berwarna Tantalum Grey yang juga boleh dipilih dalam saiz 20- dan 21-inci.

Di dalam pula, GLB 35 diberikan sistem infotainmen MBUX dengan pad sesentuh serta butang sesentuh pada roda stereng. Tempat duduk, papan pemuka dan panel pintunya semua dibaluti dengan kulit dan jahitan AMG untuk membezakannya dari GLB 250.  

SUV kompak sporti ini dijangka mula dijual awal 2020. Adakah anda rasa ia akan masuk ke pasaran kita?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here