Peka, waspada memandu kenderaan pada waktu malam

3823

Pastikan keadaan kenderaan selamat, patuhi amalan mudah sebelum memulakan perjalanan. Memandu pada waktu malam barangkali bagus untuk mengelakkan kesesakan. Tambahan pula keadaan trafik kurang sesak pada waktu itu berbanding sebelah siang.

Pun begitu, ada risikonya apabila keadaan menjadi semakin gelap atau lebih buruk tatkala tiada lampu jalan. Jarak pandangan juga terhad.



Lazimnya, sebaik sahaja matahari terbenam, kita mungkin tidak perasan anggaran jarak, pengecaman warna dan pandangan akan terjejas. Banyak kebarangkalian boleh berlaku jika kita tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Hal demikian disebabkan manusia bergantung sepenuhnya kepada lampu jalan, lampu kereta sendiri dan juga pantulan cahaya daripada kenderaan lain. Tanpa pertolongan itu, kita tidak ubah seperti orang buta sedang berjalan tanpa tongkat.

Tip memandu pada waktu malam

  • Periksa lampu hadapan

Pastikan lampu utama hadapan kenderaan atau headlamp berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Pastikan juga lampu hadapan berada di posisi tepat, manakala talaan lampu mengikut posisi yang sebenarnya. Setiap pusat servis kenderaan mempunyai ukuran untuk kedudukan lampu hadapan yang betul. Perkara itu sangat penting.

Jika lampu terlalu rendah, anda tidak nampak jauh ke hadapan. Jika lampu terlalu tinggi, pemandu dari arah bertentangan akan silau dan mungkin boleh mencetuskan pelanggaran.

  • Peka dengan keadaan sekeliling

Mungkin kita beranggapan bahawa kita ialah seorang pemandu yang bagus dan cekap memandu pada waktu malam. Namun, jangan fikir semua orang sama seperti kita.

Sentiasalah peka dan periksa dengan teliti pergerakan kenderaan lain ketika melalui simpang atau berhenti, walaupun anda sudah berada di laluan betul.

Ambil sedikit masa melihat pergerakan kenderaan lain apabila lampu merah bertukar hijau. Berikan lebih ruang kepada kenderaan lain.

Ingat, kenderaan hadapan mungkin kelihatan lebih jauh pada waktu malam berbanding jarak sebenarnya.

  • Jangan memandu dalam keaadaan mengantuk

Memandu dalam keadaan mengantuk bahayanya seperti memandu ketika mabuk.

Ketidakupayaan kognitif selepas 18 jam berjaga sama dengan seseorang yang darahnya mempunyai kandungan alkohol (BAC) sebanyak 0.05 peratus.Selepas 24 jam berjaga, ketidakupayaan sama seperti BAC 0.10 peratus, lebih tinggi berbanding had dibenarkan oleh undang-undang di Malaysia.

Jika mula berasa penat, berhenti dan kemudian cari stesen minyak atau pusat rawat dan rehat di sepanjang lebuh raya.Berjalan dan lakukan regangan ringan serta ambil udara segar. Jika perlu tidur, lakukan selama 20 hingga 30 minit kerana ia mampu mengurangkan rasa penat.

  • Kurangkan nyalaan lampu dalaman

Memandu dalam keadaan lampu pada panel papan pemuka kereta menyala dengan terang boleh mengurangkan keupayaan mata apabila melihat ke arah jalan yang gelap di hadapan.Pastikan lampu papan pemuka dimalapkan dan padam lampu-lampu kecil ketika memandu.

  • Gunakan lampu tinggi dengan bijak

Jangan jadi pemandu yang membuatkan pemandu dari arah bertentangan silau kerana lampu tinggi yang anda pasang.

Matikan lampu tinggi apabila ada kenderaan semakin hampir bagi membolehkan pemandu mempunyai pandangan lebih jelas. Membuat pemandu di hadapan anda dalam keadaan silau sangat bahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan.

  • Elakkan memandu secara bersendiriran

Memandu seorang diri pada waktu malam boleh membuatkan kita berasa sunyi.

Kadangkala disebabkan terlalu bosan dengan perjalanan yang jauh berseorangan di dalam kereta, potensi untuk berasa mengantuk adalah sangat tinggi.Bagi mengelakkan diri merasa bosan semasa memandu, bawalah setidak-tidaknya seorang rakan untuk diajak berbual.

Jika kita bersama ahli keluarga atau rakan-rakan, ajaklah mereka berborak apa sahaja topik dirasakan sesuai. Carilah topik yang boleh membuat kita sama-sama tergelak kerana ia akan menghilangkan rasa bosan dan mengantuk ketika memandu.

  • Pasang lagu atau radio dengan kuat

Jangan sesekali biarkan suasana memandu terlampau sunyi. Untuk meriuhkan keadaan di dalam kereta, pasanglah radio atau lagu kegemaran anda pada volume yang lebih tinggi daripada biasa.

Lebih menarik jika kita menyanyi bersama untuk menghilangkan rasa bosan. Sebaiknya pasang lagu yang mempunyai rentak rancak.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here