Lewis Hamilton mahu bersemuka dengan pemandu Ferrari, Charles Leclerc selepas menerima tekanan luar biasa di litar oleh juara Grand Prix (GP) Itali itu, tengah malam tadi.
Perlumbaan di Monza itu dimenangi pelumba berusia 21 tahun itu ketika Hamilton, juara dunia lima kali dari Mercedes berdepan detik cemas ketika dihimpit keluar litar.
“Dia tidak meninggalkan kereta di sana, dia menolak saya,” kata Hamilton menerusi pasukan radio.
Ketika bercakap kepada wartawan kemudian, pendahulu kejohanan, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga menjelaskan dia hanya mahu mendapat layanan konsisten daripada petugas perlumbaan.
“Ada peraturan di tempat perlumbaan ini dan ia tidak dipatuhi dan nampaknya mereka menggunakan perbezaan peraturan hari ini, tetapi saya tidak tahu mengapa itu berlaku,” kata pemandu Britain berkenaan.
“Saya rasa steward baru bangun dari tempat tidur lain pagi tadi. Entahlah saya tidak tahu.”
Bagaimanapun, Lewis Hamilton mahu bersemuka dengan Charles Leclerc dan ingin mengucapkan tahniah kepada Leclerc kerana melakukan kerja dengan baik.
Pemandu berusia 21 tahun yang memulakan perlumbaan dari petak utama itu meraih kemenangan kedua buat Ferrari dalam tempoh lapan hari selepas kejuaraan pertama dilakar di Belgium.
“Saya memberikan banyak tekanan buatnya yang saya mampu dan saya harap kami mempunyai beberapa saat bersama, mungkin kami boleh bercakap mengenainya secara rahsia, tetapi tiada apa yang besar dan kami terus berlumba,” katanya.