Kehadiran Ferrari 812 GTS iaitu adik-beradik convertible bagi 812 Superfast adalah agak mengejutkan sebenarnya. Ini kerana 812 Superfast itu agak hardcore dan F12 sebelum itu tidak ditawarkan dalam versi convertible.
Apa pun, Ferrari 812 GTS ini tetap menawan, didedahkan pada Frankfurt Motor Show yang sedang berlangsung.
Ia menggunakan mekanikal dari Superfast, iaitu enjin 6.5-liter V12 di depan, dan kuasa dihantar ke gandar belakang sahaja. Enjin naturally-aspirated yang mampu rev sehingga 8,500rpm itu menghasilkan 780hp dan 712Nm tork. Kelajuan maksima ialah 340km/j.
Ferrari mendakwa tahap prestasinya sangat sama dengan versi Berlinetta, dengan pecutan 0-100km/j dicapai dalam kurang dari 3 saat.
Pengeluar supercar Itali itu bukan sahaja berkata 812 GTS itu kereta spider produksi paling berkuasa dalam pasaran, tapi juga paling versatil, disebabkan bumbung convertible jenis hard top.
Bumbung besi berlipat itu membuka dan menutup dalam 14 saat, hingga kelajuan 45km/j. Cermin elektrik di belakang pemandu (penghenti angin) juga boleh dibiarkan terbuka walaupun bumbungnya ditutup. Ini membolehkan pemandu menikmati lebih bunyi V12.
Bahagian belakang kereta ini direka semula menyebabkan gerbang roda belakangnya kehilangan sirip aerodinamik. Tetapi kekurangan ini diatasi dengan penambahan flap di diffuser belakang.
Kereta V12 spider pertama Ferrari adalah 166 MM yang dilancarkan pada 1948 yang memenangi Mille Miglia dan 24 Hours of LeMans pada 1949. V12 spider terakhir adalah 365 GTS4.