Bekas pemenang LeMans dan pemandu uji Bugatti, Andy Wallace baru-baru ini menggunakan versi Bugatti Chiron Super Sport 300+ untuk menetapkan rekod kelajuan maksima 490km/j di litar ujian Volkswagen Group Ehra-Lessien di Jerman.
Pemanduan itu belum diiktiraf oleh Guiness sebagai rekod dunia kerana ia hanya dibuat satu arah, namun Bugatti telah mendakwa mereka telah menghasilkan kereta produksi terpantas hari ini.
Enjin
Chiron Super Sport 300+ menggunakan enjin quad-turbo 8.0-liter W16 Chiron yang dipertingkat untuk menghasilkan 1,578hp – peningkatan sebanyak 100hp. Kotak gear dengan nisbah lebih panjang dipasang untuk mencapai kelajuan maksima melebihi 480km/j, berbanding kelajuan maksima 420km/j yang dihadkan.
Chiron Super Sport 300+ juga akan dihadkan kelajuan maksimanya, tetapi Bugatti belum memberitahu berapa hadnya.
Versi jalanan hypercar itu akan menggunakan penggayaan sama dengan unit pemecah rekod. Ini bermakna ia mempunyai badan yang dioptima untuk aerodinamik dengan gentian karbon terdedah, bahagian belakang panjang, diffuser tengah dan susunan ekzos diubahsuai untuk mengurangkan drag (seretan) di kelajuan tinggi.
Super Sport 300+ ini menggunakan rim magnesium, dan beberapa lagi komponen dari gentian karbon adalah untuk penutup enjin dan penggilap cerminnya. Ya, untuk kurangkan berat. Sementara itu, stripe oren di badan adalah peringatan kepada Veyron Super Sport World Record Edition asal, yang menjadi kereta produksi terpantas pada masa itu (2010).
Jika anda lihat pada kabin Chiron ini yang terdapat sangkar guling dan alat perekod masa, sayang sekali anda tidak dapat semua ini untuk versi produksi. Sebaliknya, semua 30 pemilik hanya akan dapat kabin mewah seperti Chiron biasa. Sedih…
Tapi ada berita baik! Bugatti sedang mempertimbangkan untuk pasangkan semula sangkar guling itu atas permintaan pemilik dan memberikan mereka akses kepada litar ujian itu untuk cubaan kelajuan maksima mereka sendiri. Menarik?
Semua 30 unit kereta yang akan dihasilkan akan dijual pada RM16.10 juta sahaja. Penghantaran untuk pemilik pertama akan bermula pada pertengahan 2021.