Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi ditakluk oleh Azlan Shah Kamaruzaman apabila muncul juara perlumbaan kedua ASB1000 Pusingan Keenam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) hari ini sekali gus kemenangan kedua berturut-turut selepas mendominasi perlumbaan pertama semalam.
Azlan yang bermula di petak kedua, menamatkan perlumbaan mengatasi dua pelumba Thailand, Thitipong Warokorn (Kawasaki Thailand Racing Team) dan Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kini pelumba Onexox TKKR SAG Racing Team itu Team itu berpeluang untuk mencabar takhta keseluruhan ASB1000 ketika berbaki satu pusingan di Buriram, Thailand pada 29 November sehingga 1 Disember depan.
Azlan kini menduduki tangga kedua keseluruhan ASB1000 dengan mengumpul 193 mata, hanya ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Broc Parkes (Yamaha Racing Team Asean) yang mengumpul 212 mata.
“Sebelum perlumbaan di Sepang saya sememangnya tidak meletakkan harapan yang tinggi sebab di dalam perlumbaan apa saja boleh berlaku.
“Akhirnya saya berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat pertama. Kedua-dua kemenangan ini amat bermakna kerana saya dapat merapatkan jurang dengan Parkes.
“Untuk pusingan terakhir di Buriram saya tak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri sebab ia hanya akan menyebabkan saya berasa tak selesa ketika berlumba.
“Saya jangkakan kesemua pelumba termasuk Parkes pasti akan bersaing sengit di Buriram nanti,” katanya.
Sementara itu, dua pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) dan Ramdan Rosli (Onexox TKKR SAG Racing Team) masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga kategori Supersport 600cc.