Acara kemuncak Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur semalam menyaksikan seramai 40 peserta layak menggalas cabaran untuk berentap pada pusingan akhir acara perlumbaan Esport terbesar di Malaysia berkenaan.
UMW Toyota Motor (UMWT) menjadi syarikat automotif pertama yang menyokong perkembangan pesat aktiviti sukan elektronik di sini sejak tahun lalu. Memandangkan maklum balas dan sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada peminat-peminat ESport, UMWT sekali lagi menganjurkan program itu pada edisi tahun ini.
Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 menyaksikan seramai 700 peserta telah bersaing di dalam pusingan kelayakan yang diadakan bertempat di Cove ESport Hub, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada 31 Ogos, serta 1, 14 dan 15 September.
Tawaran hadiah
Tahun ini, semua pemenang akan berkongsi tawaran hadiah dengan nilai yang lebih besar, RM70,000:
Juara — RM20,000
Naib Juara — RM10,000
Tempat Ketiga — RM5,000
Tempat Ke-4 hingga Ke-10 — RM2,000 setiap satu
Tempat Ke-11 hingga Ke-20 — RM1,000 setiap satu
Turut diadakan ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah produk permainan video elektronik yang bernilai RM11,000.
Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) menjadi pelengkap kepada aktiviti-aktiviti sebenar dan berprestasi anjuran Toyota yang lain, antaranya termasuk perlumbaan litar jalanan Toyota Gazoo Racing Festival yang berlangsung empat kali setahun di beberapa lokasi seluruh negara.
“Pada era digital kini, tidak hairan sukan elektronik atau ESport menjadi sebuah industri yang semakin pesat berkembang, tidak hanya di Malaysia tetapi juga diperingkat global. Ia menawarkan keterujaan yang sangat dekat dengan jiwa generasi yang membesar di dalam zaman digital ini yang akrab dengan permainan video serta simulator perlumbaan,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
“Untuk itu, penglibatan Toyota di dalam ESport melalui Gazoo Racing dirasakan satu cara yang ideal kepada jenama ini untuk mempamerkan sisi sporty dan dinamiknya. Tahun lalu, kami berasa sangat gembira dengan sambutan yang diterima daripada khalayak terhadap penganjuran kali pertama acara berkenaan. Dan, tahun ini ia menjadi bertambah meriah,” tambah beliau lagi.
Semua peserta menggunakan jentera Toyota GR Supra 2019, kereta flagship terbaru keluaran Toyota yang dibangunkan tidak hanya bagi kegunaan sukan permotoran sebenar, tetapi juga boleh dimanfaatkan dalam pertandingan Gran Turismo ESport.
Lokasi pertandingan
Tahun ini, peserta akan berlumba di sekitar Fuji Speedway, Jepun yang merupakan sebuah litar terkenal dengan laluan sepanjang 1.475 km serta melibatkan satu laluan lurus yang terpanjang di dunia. 10 peserta akhir pula akan berentap sesama sendiri di dalam perlumbaan 10-pusingan di dalam tiga litar terbaik melibatkan Kyoto Driving Park, Suzuka Circuit dan Fuji Speedway.
Thrustmaster® menjadi pembekal simulator perlumbaan T-GT terbaik untuk Gran Turismo Sport bagi Kejuaraan Velocity Esport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 ini, dan juga untuk permainan maya Gran Turismo akan datang. Peserta akan dapat memanfaatkan teknologi unik yang ada padanya untuk memberikan dinamik pemanduan yang mantap mirip yang ada pada Toyota GR Supra.
Untuk maklumat berkaitan senarai peserta dan pemenang Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019, layari laman sesawang https://toyotavelocity.com/.