Tak lama dahulu, kereta dengan enjin naturally-aspirated (NA) adalah normal dan kereta berenjin turbo semuanya gila dengan kuasa tinggi dan mendadak. Namun kini, kebanyakan pengeluar telah beralih ke arah downsizing iaitu mengecilkan kapasiti enjin. Pada masa yang sama, turbo ditambah agar kuasa dapat kekal tinggi.
Sebagai contoh, sebuah kereta dahulunya berenjin 2.0-liter dengan 160hp. Kini generasi baharu kereta sama menggunakan enjin 1.6-liter turbo tetapi dengan 160hp yang sama atau lebih.
Enjin turbo moden telah ditala agar bekerja dengan cekap dan mempunyai penghantaran kuasa yang linear agar sesuai dipandu oleh semua orang setiap hari.
Dari hatchback kompak seperti Kia Picanto 1.0-liter (pasaran luar), hingga MINI Cooper dan hinggalah sedan mewah Mercedes-Benz E250, semuanya kini mendapat janaan turbo.
Akan tetapi, enjin naturally-aspirated masih relevan dan mempunyai daya tarikannya tersendiri. Di sini adalah 5 sebab kenapa anda patut pilih enjin NA berbanding turbo.
-
Respon pedal minyak
Jika dilihat pada graf output enjin berbanding input pedal, kereta NA mempunyai graf lebih linear dan lebih senang dikawal. Kuasa juga lebih cepat dihantar dan tiada delay.
Dalam enjin turbo, terdapat turbo lag dan semasa anda menekan pedal, anda mungkin harus tunggu sebentar sebelum tork penuh tiba. Graf juga melengkung dan tidak linear. Pada 50 peratus input pedal minyak, anda mungkin telah mendapat boost tork penuh.
-
Lengkungan tork
Disebabkan tork enjin turbo tidak linear, ia akan melengkung. Memang berkuasa di puncak, tetapi pada awal dan akhirnya tiada apa-apa.
Di rpm rendah, terdapat delay, di tengah kuasa memuncak dan di hujung, enjin turbo seolah-olah kehilangan nafas. Manakala enjin NA yang linear akan mempunyai kuasa dan tork puncak di hujung dan ia meningkat secara berkadar.
Talaan enjin turbo terhad sama ada mahukan puncak di awal rpm (turbo kecil) atau di hujung rpm (turbo besar).
-
Ketahanan dan kos
Semua tahu bahawa enjin turbo berkos lebih tinggi. Ia lebih kompleks dan memerlukan kos lebih tinggi untuk membuatkannya mampu bertahan untuk segala kegunaan.
Untuk enjin NA, kos penghasilannya lebih rendah kerana tekanan dalamannya juga lebih rendah.
Enjin NA mempunyai tekanan dalam silinder kira-kira 1,000PSI, enjin turbo pula sekitar 2,000PSI dan enjin turbo diesel pula lebih tinggi, kira-kira 3,000PSI. Dan sebab itulah enjin turbo diesel sangat mahal kerana ia perlu dibina untuk ketahanan tinggi.
-
Kecekapan bahan api
Walaupun idea asal downsizing dan menambah turbo adalah untuk meningkatkan kecekapan bahan api (menjimatkan minyak), dalam situasi tertentu, enjin turbo boleh menggunakan lebih bahan api dari enjin NA.
Dengan tekanan lebih tinggi semasa campuran petrol dan udara serta operasi turbo, suhu enjin turbo juga tinggi. Jadi ini cenderung kepada enjin knocking yang boleh merosakkan enjin.
Jadi bagaimana anda mengurangkan suhu dalam enjin turbo? Lebih bahan api akan diberikan untuk melindungi enjin dengan campuran udara dan bahan api yang tinggi, tapi akibatnya, kecekapan bahan api akan menurun.
-
Bunyi
Ini mungkin subjektif, tetapi mempunyai alasan yang objektif. Ada 3 sebab kenapa kereta berenjin turbo tidak mempunyai bunyi enjin semerdu enjin NA.
Pertama, lokasi turbo. Lokasinya sebelum ekzos menghalang bunyi kerana turbo mengambil semua tenaga dari enjin untuk spool dan menghasilkan lebih tenaga.
Kedua, enjin yang lebih kecil. Disebabkan turbo sudah menghasilkan kuasa mencukupi, enjin tidak perlu terlalu besar maka berkuranglah juga bunyi yang dihasilkan.
Ikuti penerangan penuh oleh Engineering Explained di bawah: