Charles Leclerc berkata dia menaruh harapan penuh kepada rakan sepasukan di Ferrari, Sebastian Vettel selepas berlaku salah faham membabitkan hubungan radio pasukan di pusingan awal, Grand Prix Russia, di Sochi semalam.
Charles Leclerc memberi ruang untuk Vettel mendahului dengan satu pusingan dan mendakwa dia sudah membuat persetujuan dan tidak timbul isu bahawa juara empat kali itu mengingkari arahan pasukan.
Perjanjian itu datang seminggu selepas Ferrari membantu Vettel mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam tempoh 13 bulan di Grand Prix Singapura dengan ‘berganjak’ dari pit-stop seterusnya menafikan kemenangan hatrik Leclerc.
“Saya fikir semua dihormati,” kata Leclerc selepas perlumbaan itu, menunjukkan dia sudah berulang kali memaklumkan menerusi radio pasukan, termasuk mendorong pasukan untuk menguruskan keadaan dengan lebih jelas.
“Pada awal permulaan, saya bergerak ke kiri untuk memberikan Seb laluan. Saya tahu dia akan melakukan pintasan dan kami hanya perlu melakukan pertukaran semula – di mana kami melakukannya di pit stop kemudian dalam perlumbaan itu.”
Carles Leclerc terus mendahului apabila Vettel dipanggil untuk berada di pit, tetapi warga Jerman itu menarik diri pada pusingan ke 28 selepas berdepan masalah enjin yang memaksa diiringi kenderaan keselamatan seterusnya memberi kelebihan buat Lewis Hamilton dan Mercedes memperoleh kejayaan.
“Saya fikir kepercayaan tidak akan pudar dan saya fikir kami perlu mempercayai satu sama lain,” kata Leclerc.
“Ia sangat penting buat pasukan untuk mengetahui kamu boleh bergantung antara satu sama lain. Ia amat penting dan ya, saya fikir kepercayaan itu masih ada.”